Oleh: Izzah Dalila & Dayang Siti Nuraisyah

Tanjong Malim: Program Pensijilan Profesional Ulul Albab (Tahap Asas) yang dianjurkan oleh Pusat Ulul Albab pada 17 hingga 19 November ini disifatkan sebagai satu inisiatif yang dapat meningkatkan kualiti pengetahuan dan membangunkan mahasiswa yang memiliki kemahiran, keseimbangan, penguasaan dalam pelbagai bidang, serta kemampuan berfikir kreatif, kritis, dan inovatif.

Program Pensijilan profesional Ulul Albab ini direka bagi meningkatkan kemahiran mahasiswa dan kompetensi untuk memasuki pasaran kerja melalui latihan yang didorong oleh profesional. Program ini merupakan manifestasi komitmen dan kesungguhan PUA untuk membangunkan modal insan yang berilmu dan berkemahiran. Program yang berlangsung selama tiga hari dua malam ini disertai seramai 53 mahasiswa terpilih yang terdiri daripada pelbagai fakulti dan ahli Kelab Sabahat Ulul Albab (KeSUA) UPSI. 

Sepanjang program ini berlangsung peserta didedahkan dengan tiga elemen utama model Ulul Albab iaitu Quranik, Ensiklopedik, dan Ijtihadik (QEI) di mana setiap elemen tersebut mempunyai 3 slot pengisian yang saling berkait antara satu sama lain dan saling lengkap-melengkapi.

Elemen Quranik bertujuan membina generasi masa depan yang mempunyai pengetahuan dan kefahaman tentang intipati kandungan ajaran daripada Al-Quran dan Sunnah.

Pengisian pertama diisi dengan slot Deen al-Salam. Elemen ini memberi peserta pendedahan, pengetahuan dan kefahaman mendalam mengenai iman, islam dan ihsan serta menyakini kesatuan ketiga-tiga komponen tersebut membantu mereka memahami makna islam dalam kehidupan.

Slot seterusnya iaitu Quranik: Sainstifikkah al-Quran? pula membawa peserta untuk mengkaji perspektif sains dalam al-Quran. Fokus slot ini adalah untuk membincangkan fakta-fakta sains yang terbukti dan belum terbukti secara saintifik dalam al-Quran. Manakala slot terakhir bagi elemen Quranik ialah Slot 3: Sakit Hati@ Hati Sakit yang mana peserta dapat memahami definisi hati secara fizikal dan spiritual diikuti dengan kategori penyakit hati dan bahagian tubuh yang perlu dijaga serta kaedah penyembuhan hati.

Seterusnya, elemen Ensiklopedik memfokuskan dan mengasah bakat komunikasi serta kepelbagaian ilmu dan kemahiran lain peserta termasuk penguasaan bahasa asing. Slot pertama bagi elemen ini ialah Slot 1: Open Mind’s Eye (Memori Skills) di mana peserta diperkenalkan kemahiran memori atau kemahiran mengingat iaitu kaedah untuk membantu peserta mengingati apa yang dipelajari dengan cara yang mudah dan menyeronokkan.

Peserta juga diajar dengan teknik-teknik untuk menggandakan tahap kebolehan belajar. Slot kedua pula Ensiklopedik: Rean-N-Not (Reading and Note Taking Skills) mendedahkan peserta dengan kemahiran membaca dan mengambil nota. Kemahiran-kemahiran ini merupakan salah satu daripada kemahiran bahasa yang penting dalam PdP. Dengan kemahiran ini, peserta dapat menguasai teknik membaca dan mengambil nota yang akan memudahkan mereka menimba ilmu pengetahuan serta meningkatkan daya kreatif dan inovatif.

Slot terakhir bagi elemen Ensiklopedik, Slot 3: We Chat-You Listen (Communcation Skills) mendedahkan peserta kemahiran komunikasi dalam proses penyampaian maksud atau mesej dengan efektif dan berkesan. Peserta juga dapat mempraktikkan prinsip komunikasi baik seperti yang digariskan dalam islam.

Elemen terkahir bagi program ini ialah elemen Ijtihadik yang berteraskan kepada proses penyelesaian masalah berpandukan pemikiran yang bijaksana dan bertindak dalam menghasilkan sesuatu dengan kreativiti dan inovasi. Slot pertama elemen ini, Slot 1: Konsep Ijtihadik memberi pendedahan kepada peserta bagaimana otak boleh berfungsi bagi menzahirkan minda yang positif dan kreatif.

Melalui slot ini, peserta juga melakukan aktiviti-aktiviti uji minda untuk mengaktifkan otak. Slot seterusnya ialah Slot 2: Otak Kita di mana peserta diberikan kefahaman tentang konsep otak dan minda. Slot ini memberi penekanan kepada kelebihan penggunaan otak kiri dan kanan serta kaedah untuk memanifestasikan kelebihan masing-masing. Di samping itu, peserta juga didedahkan berkenaan konsep otak tengah dan kaedah untuk mengaktifkannya. Akhir sekali adalah Slot 3: Pemikiran Hati yang melatih peserta untuk memahami dan mengenal pasti nilai-nilai potensi diri yang merangsang usaha ke arah menjadi insan yang hebat berasaskan lapan prinsip “Multiple Intelligences”.

Pengisian ketiga-ketiga model utama Ulul Albab ini dikongsikan oleh barisan panel jemputan yang hebat terdiri daripada Talent Pool Pusat Ulul Albab bagi mengendalikan slot sepanjang program berlangsung. Antaranya ialah Haji Mohamad Khairul Azman Haji Ajuhary, Dr. Abu Zarrin Selamat dan En Anizan Md Noor.

Para peserta diyakini akan dapat menguasai pelbagai output yang dipelajari khususnya dalam mengaplikasi prinsip, konsep dan amalan pengurusan asas untuk pengurusan diri dengan lebih berkesan. Mereka juga diharap dapat mengaplikasi kemahiran QEI dengan berkesan dalam menyokong objektif ,berkomunikasi dengan pihak berkepentingan dengan keyakinan tinggi dan berupaya bekerja dalam kumpulan secara efektif.