Oleh: Nurul Fadhlin Sha’ari & Nor Hayati Aziz

Tanjong Malim: Program Ulul Albab Peringkat Kedua yang dilaksanakan pada setiap sidang dalam bentuk latihan dan ”hands on” bertujuan untuk melatih dan mendedahkan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris agar menjadi pemimpin yang serba boleh serta bersungguh-sungguh mencari ilmu.

Program ini merupakan manifestasi komitmen dan kesungguhan Pusat Ulul Albab (PUA) untuk membangunkan modal insan yang berilmu dan berkemahiran. Program yang berlangsung pada 8 hingga 10 Disember disertai  51 orang mahasiswa terpilih yang terdiri daripada pelajar-pelajar UPSI dan ahli Kelab Sababat Ulul Albab (KeSUA) UPSI Kohort 12 yang aktif dan komited menghadiri perjumpaan mingguan.

Sepanjang program ini berlangsung, peserta didedahkan dengan tiga elemen utama model Ulul Albab iaitu Quranik, Ensiklopedik, dan Ijtihadik (QEI) di mana setiap elemen tersebut mempunyai pengisian yang cukup padat.

Sesi bergambar bersama panel
Sesi bergambar bersama panel
Slot kepimpinan
Slot Motivasi Diri

Slot al-Quran dan Sains di bawah elemen Quranik bertujuan menambah pengetahuan dan kefahaman peserta tentang intipati kandungan ajaran daripada Al-Quran dan Sunnah serta perkaitannya dengan ilmu sains. Melalui slot ini, peserta dapat membincangkan kebenaran al-Quran sebagai kitab wahyu dan bukan rekaan manusia berdasarkan perkaitan ilmu sains dengan ayat- ayat di dalam al- Quran dengan lebih mendalam dan terperinci. Disamping itu, slot ini juga mampu memupuk rasa cinta para peserta terhadap al-Quran.

Seterusnya, Slot Motivasi Diri bagi elemen Ensiklopedik membantu para peserta mengenali personaliti diri masing-masing dengan teknik mengenal pasti. Dalam slot ini, peserta mempelajari cara untuk mengenali dan menghargai kelebihan serta bakat diri yang telah dianugerahkan Allah SWT melalui aktiviti yang dijalankan. Oleh yang demikian, slot ini mampu memberi kesedaran kepada peserta untuk menghargai perbezaan kelebihan dan kekurangan dalam diri mereka dan orang lain.

Slot terakhir bagi program ini ialah slot kepimpinan yang mana membantu peserta untuk belajar bahawa setiap orang ada karakter masing- masing dan boleh difahami dan dikenal pasti melalui empat jenis warna yang berbeza iaitu biru, hijau, jingga dan emas. Penggabungan karakter yang berbeza ini mampu menggabungkan idea-idea menjadi satu idea yang lebih menarik. Oleh itu, kepelbagaian karakter ini dapat  memudahkan sesebuah kepimpinan kerana kita memahami setiap karakter ahli pimpinan. Selain itu, slot ini juga melatih peserta tentang kemahiran dalam membuat sesuatu keputusan dengan pantas melalui pelbagai aktiviti fizikal.

Pengisian ketiga-ketiga model utama Ulul Albab ini dikongsikan oleh barisan panel jemputan yang hebat dalam mengendalikan slot sepanjang program berlangsung dari awal hingga akhir.  Antaranya ialah Prof. Madya Dr. Md Saper, Prof Madya Dr.Arip Kasmo dan dibantu oleh Sir Irwan

Para peserta  akan dapat menguasai pelbagai output yang dipelajari khususnya dalam mengaplikasi prinsip, konsep dan  untuk pengurusan diri dengan lebih berkesan. Mereka juga diharap dapat mengaplikasi kemahiran QEI dengan berkesan walau di mana pun mereka berada.