Oleh: Syaidatul Hidayah Abdullah & Dayang Aisyah
Tanjung Malim– Dalam kesibukan menghadiri kuliah, seramai 16 pelajar Kelab Sahabat Ulul Albab (KeSUA) berpeluang menjalankan tanggungjawab sosial mereka dengan menganjurkan Program Santun Warga Emas yang berlangsung pada 13 Disember di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Program kerjasama Persatuan Pendidikan Rehabilitasi OKU, Ibu Tunggal dan warga emas (PRIMAS) telah melibatkan 30 warga emas.
Program ini berfokuskan untuk memberi pengetahuan pengurusan yang efektif supaya warga emas dapat menjalani kehidupan dengan baik dan mendayaupayakan mereka menghadapi hari tua dengan aktif serta menerapkan sikap bertanggungjawab dan prihatin dalam diri mahasiswa terhadap golongan warga emas.
Terdahulu, Dr. Sakinah Salleh menyampaikan ceramah yang bertajuk Pengurusan Kesejahteraan Mental di mana peserta didedahkan dengan pengetahuan tentang kepentingan kesihatan mental. Melalui ceramah ini, peserta dapat mengetahui ciri-ciri masalah mental seperti ciri-ciri kemurungan dan cara mengatasinya serta tindakan yang boleh diambil sekiranya berhadapan dengan orang yang mengalami masalah tersebut.
Di samping itu, slot ini juga menyediakan sesi kaunseling dan bimbingan berkelompok kepada para peserta yang dikendalikan oleh kaunselor UPSI, Ahmad Shazwi Ahmad Shukri dan Noor Syaibah Shabuddin.
Seterusnya, Slot Santunan Kasih yang dikendalikan oleh ahli KeSUA memberi bimbingan dan kefahaman kepada peserta untuk memperbaiki solat. Dalam slot ini, peserta telah berpeluang mempelajari perbezaan rukun Qauli, Qalbi dan Fi’li serta memahami maksud bacaan di dalam solat. Hal ini dapat membantu mereka untuk lebih khusyuk ketika melakukan solat.
Pada sesi petang pula, peserta berpeluang mengikuti bengkel membuat kuih pau yang kendalikan oleh Dr. Suriani Mohamed dari Fakulti Teknikal dan Vokasional UPSI. Slot ini membuka peluang perniagaan kepada peserta dan meningkatkan kemahiran diri mereka supaya dapat memberikan sumbangan kepada keluarga dan masyarakat.
Menurut Nor Hayati Aziz, Penasihat KeSUA, tanpa kita sedar segelintir warga emas memerlukan perhatian daripada pihak luar dan sebagai mahasiswa, jiwa mereka perlu ditanam dengan asas nilai murni seperti hormat-menghormati dan tanggungjawab terhadap menjaga orang tua bagi mengukuhkan institusi kekeluargaan,” katanya.
Semoga dengan penganjuran program sebegini dapat memberi kesedaran kepada mahasiswa untuk memupuk dan menyuburkan kasih sayang terhadap ibu bapa masing-masing yang wajar diberi perhatian.