Oleh: Amirah Nasihah dan Dayang Aisyah

Tanjong Malim: Pendekatan pembelajaran belajar sambil bermain merupakan pendekatan yang sangat efektif dalam pendidikan kerana ianya membantu perkembangan kanak-kanak secara menyeluruh dalam pelbagai aspek sama ada sensori, daya tahan otot, kognitif dan sosial. Program Caliph Camp 2.0: Fun and Learn!  yang merupakan kesinambungan daripada Caliph Camp 1.0 ini menggunakan konsep yang mengaplikasikan ketiga-tiga elemen Ulul Albab iaitu Quranik, Ensiklopedik dan Ijtihadik.

Program yang berlangsung selama 3 hari iaitu pada 18 Disember hingga 20 Disember 2023 bermula jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang setiap hari merupakan anjuran Kelab Sahabat Ulul Albab (KeSUA) dengan kerjasama Pusat Ulul Albab (PUA) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Program ini telah berjaya mengumpulkan seramai 34 orang pelajar sekolah rendah dan menengah dari lingkungan umur 7 hingga 16 tahun yang terdiri daripada anak-anak pensyarah UPSI sekaligus mereka yang tinggal di sekitar Tanjong Malim.

Program ini dikelola sepenuhnya oleh 15 orang fasilitator dari KeSUA yang terlatih serta berpengalaman. Sepanjang kem tersebut, peserta didedahkan dengan pengisian juga modul-modul menarik dan bermanfaat. Kem ini juga turut diisi dengan pengetahuan Islam, sains dan pengisian rohani serta modul Ice Breaking,  Mudahnya Mengaji, Smart Solat & Fardhu Ain, STEM: Fun Science, Soleh English, Genius Aulad, Hello Stranger! Rehlah Aulad dan Kalimah Akhirah.

Slot Mudahnya Mengaji
Slot Ice Breaking

Modul Ice Breaking adalah untuk memastikan semua pelajar yang terlibat saling mengenali antara satu sama lain serta dapat mengukuhkan lagi silaturrahim antara mereka. Membina suatu hubungan yang erat dalam kalangan peserta amat penting agar mereka dapat membina kepercayaan serta memupuk semangat untuk berkerjasama dalam setiap perkara.

Modul Mudahnya Mengaji membawa para peserta mendalami ilmu asas Tajwid agar mereka dapat membaca Al-Quran dengan bacaan yang betul seperti yang dituntut dalam agama Islam. Modul ini memberi fokus mengenai makhraj huruf, bacaan panjang dan pendek, bacaan sukun serta bacaan qalqalah di mana ia disusun dengan aras rendah agar bersesuaian dengan tahap pelajar sekolah.

Seterusnya, Modul Smart Solat & Fardhu Ain pula memberi pendedahan tentang ilmu asas fardhu ain yang wajib dikuasai oleh setiap mukmin. Perkongsian ilmu asas seperti konsep berwudhu’, tayammum serta solat ini disertakan juga dengan slot praktikal sebagai pengukuhan kepada penguasaan peserta terhadap apa yang telah dikongsikan. Di samping itu, aktiviti menarik yang membawa pembelajaran sains melalui teknologi turut diadakan untuk memberi gambaran baharu kepada para peserta bahawa sains itu menarik dan menyeronokkan!

Modul STEM: Fun Science menarik minat para peserta dengan pelaksanaan pelbagai eksperimen menarik di mana ia saling berkait dari sudut Kimia, Biologi dan Fizik. Mereka diberi peluang untuk meneroka pelbagai aktiviti sains yang menarik seperti aktiviti Car Ballon Race yang mengaplikasikan konsep Bernoulli, Detective Conan, Straw Rocket, Float Me Up serta Mini Volcano.

Slot STEM: Fun Science
Slot Smart Solat & Fardhu Ain

Para peserta juga dapat menguji kemahiran motor halus mereka untuk berfikir dengan lebih kreatif dalam Modul Genius Aulad. Mereka diberi pendedahan mengenai kepentingan untuk menetapkan matlamat hidup sekaligus cita-cita yang diimpikan supaya mereka mampu merancang masa depan dan arah tuju mereka dengan lebih jelas dan teratur.

Modul Soleh English membawakan pengisian ilmiah rohani yang menggunakan pendekatan Bahasa Inggeris. Ia memfokuskan kepada pemahaman terhadap surah al Fatihah, penggunaan “Golden Word” dalam urusan harian dan memberi penekanan terhadap aspek adab serta perilaku yang baik. Kemudiannya, para peserta akan mempelajari kaedah-kaedah yang sesuai digunakan untuk meningkatkan keyakinan diri dan kemahiran sosial dalam Modul Hello Stranger. Setiap aktiviti yang dilakukan memerlukan peserta untuk maju ke hadapan bagi mengatasi ketakutan berkomunikasi dengan orang asing.

Slot Soleh English
Slot Genius Aulad
Slot Hello Stranger

Aktiviti explorace juga turut dilaksanakan dalam Modul Rehlah Aulad di mana para peserta berpeluang melawat beberapa tempat di Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, UPSI. Antara tempat yang dikunjungi adalah Bitarasiswa, Gelanggang, Muzium, Laman Batik, Perpustakaan Tuanku Bainun, Galeri Seni dan taman di sekitarnya. Aktiviti ini juga dapat meningkatkan semangat dan minat peserta untuk melanjutkan pelajaran di peringkat yang lebih tinggi dengan melihat kepada fasiliti yang disediakan di universiti. Modul terakhir yang dikongsikan adalah Modul Kalimah Akhirah yang merupakan slot refleksi bagi peserta. Modul ini amat penting bagi menambahbaik segala kelemahan dan kekurangan yang terdapat sepanjang pelaksanaan program selama tiga hari ini. Sebarang komen serta cadangan penambahbaikan dari segala aspek akan diambil maklum dan dilaksanakan pada program yang seterusnya.

Peserta bersama Pengarah Pusat Ulul Albab

Pengarah Pusat Ulul Albab UPSI, Dr Sakinah Salleh berkata dalam ucapan beliau semasa  Majlis Penutupan Program Caliph Camp: 2.0 Fun and Learn! bahawa program ini akan dilaksanakan pada setiap cuti persekolahan secara berterusan. Beliau juga merakamkan jutaan terima kasih di atas sambutan yang amat menggalakkan daripada ibu bapa sekitar kawasan Tanjong Malim apabila mereka begitu komited menghantar anak masing-masing menyertai kem tersebut.

Penasihat Program, Nor Hayati Aziz mengharapkan Program Caliph Camp ini dapat diperluaskan lagi dan menjadi “trademark” anak-anak di sekitar Tanjung Malim setiap kali musim cuti persekolahan agar anak-anak dapat memanfaatkan cuti persekolahan mereka dengan perkara-perkara yang berfaedah. Katanya lagi, Program sebegini mampu memberi pengalaman dan menjadi salah satu nilai tambah sebagai persediaan kepada mahasiswa UPSI untuk memegang profesion dalam bidang pendidikan yang semakin mencabar pada masa kini.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)