Oleh: Nurshafiqa Shahrun Nizam
Tanjung Malim: Permainan tradisional merupakan sebahagian daripada kekayaan budaya yang telah diwarisi dari generasi ke generasi. Sayangnya permainan tradisional yang menunjukkan kebudayaan sesuatu tempat itu mula sedikit demi sedikit terpinggir apabila kebanyakan daripada permainan berkenaan kurang diketahui oleh golongan muda.
Sehubungan dengan itu, Kolej Harun Aminurrashid (KHAR) telah menganjurkan program Traditional Let’s Explorace: Gelora Tradisi yang berlangsung pada 26 November bertempat di perkarangan kolej Harun Aminurrashid (KHAR).
Program ini bermula seawal jam 8.30 pagi hingga 12.25 tengah hari, dan telah mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada semua penghuni dengan penglibatan seramai 80 orang penghuni secara keseluruhan.
Program dimulakan dengan aktiviti sebelum senamrobik bagi tujuan reggangan badan sebelum bermulanya aktiviti utama iaitu explorace. Explorace yang bertemakan konsep tradisional ini mempunyai lima checkpoint yang berbeza-beza, merangkumi beberapa aktiviti iaitu lompat getah, tuju selipar, galah panjang, lari dalam guni dan teka lagu.
Penasihat Program, Hazman Ya’akob berkata program ini merupakan antara salah satu usaha bagi memartabatkan permainan tradisional di Malaysia, khususnya terhadap penghuni kolej kediaman blok 1 KHAR.
“Sejak kebelakangan ini, permainan tradisional sering terpinggir dan dilupakan oleh generasi muda yang lebih tertarik kepada gajet dan media sosial. Sehubungan itu, dengan adanya program seperti ini, ia dapat mengalihkan seketika pandangan mereka kepada teknologi-teknologi tersebut”.
Beliau juga menambah bahawa program ini bukan sekadar untuk memartabatkan permainan tradisional akan tetapi, ia juga dapat mengajar nilai kerjasama, kesabaran, strategi, dan kemahiran sosial sesama penghuni.
Seharusnya, program seperti ini perlu dilaksanakan supaya penghuni Kolej Harun Aminurrashid tidak melupakan tradisi dan warisan budaya. Selain itu, ia juga memberikan ruang kepada penghuni untuk mengamalkan gaya hidup sihat dan dapat manfaatkan hari hujung minggu penghuni kolej dengan aktiviti yang berfaedah.