Oleh: Muhammad Fatkhurrozak Sokhipul Hadi & Nur Azhani Nasrudin

Tanjong Malim: Kewajipan dalam menunaikan ibadah fardu ain adalah satu tuntutan yang perlu dilakukan oleh semua muslim manakala  ibadah sunat yang dilakukan juga dapat meningkatkan keimanan seseorang kepada Allah SWT.

Mendoakan sesama muslim adalah sebuah keutamaan dan seseorang muslim juga dapat berdoa untuk orang lain apalagi bila orang yang didoakan juga tidak mengetahui hal tersebut.

Allah SWT berfirman dalam surah Ghafir ayat 60 yang ertinya “Tuhanmu berfirman, “Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Aku perkenankan bagimu (apa yang kamu harapkan). Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri tidak mau beribadah kepada-Ku akan masuk (neraka) Jahanam dalam keadaan hina dina.”

Dalam rangka saling mendoakan untuk kesejahteraan umat, Kolej Harun Aminurrashid (KHAR) melalui Exco Latihan Pembangunan dan Sahsiah, Majlis Mahasiswa Kolej KHAR telah menganjurkan Majlis Bacaan Yasin, Tahlil Perdana KHAR dan Qunut Nazilah Khas Palestin pada 30 November yang dihadiri oleh seramai lebih 500 orang penghuni kolej KHAR termasuk pengetua kolej, barisan felo blok kediaman dan pentadbir KHAR.

Pengarah Program, Shamir Zulkifli menyatakan bahawa program ini bertujuan untuk memupuk rasa cinta dan semangat dalam mempertingkatkan ibadat secara berjemaah serta memberi kesedaran kepada mahasiswa tentang kepentingan bermunajat kepada Allah disamping dapat mengeratkan hubungan silaturrahim antara penghuni kolej bersama pengurusan KHAR. Penganjuran program ini juga khusus bagi mengingati saudara seislam di Palestin.

“Saya melihat bahawa dengan adanya program ibadah sebegini mampu memberikan kesedaran kepada mahasiswa khususnya sebagai kekuatan dalam meningkatkan keimanan kepada pencipta yang Satu,” katanya.

Dr. Haji Che Anuar Che Abdullah, Pengetua KHAR meluahkan rasa syukur program yang penuh dengan siraman rohani dapat dianjurkan dan dihadiri penuh oleh kebanyakan penghuni islam KHAR.

“Program Bacaan Yasin , Tahlil Perdana KHAR dan Qunut Nazilah Khas Palestin ini wajib diadakan bagi membangunkan modal insan terutamanya penghuni KHAR dalam menerapkan nilai dan sahsiah terpuji. Kita juga perlu mengadakan majlis-majlis kerohanian bagi menyeimbangkan jasmani, emosi, rohani dan intelek bagi melahirkan pelajar yang berketerampilan baik,” katanya.

Penasihat program, Norrulkamari Daud menyatakan bahawa program ini adalah permulaan bagi program dibawah Exco Latihan, Pembangunan dan Sahsiah KHAR dan akan ada lagi program-program kerohanian lain yang tidak hanya kepada penghuni KHAR malahan berfokus kepada pembangunan sahsiah komuniti secara meluas.

UPSI melalui JHEPA dan KHAR akan sentiasa menjadi peneraju dalam program-program berunsur kerohanian, kemanusiaan dan sentuhan komuniti agar mahasiswa UPSI sentiasa menerapkan sifat syukur dalam diri dan menjadi seorang bakal guru yang cekerlang serta mampu membawa manfaat kepada masyarakat luas.

Ini selari dengan nama universiti sebagai Peneraju Kebitaraan Pendidikan yang melahirkan mahasiswa yang mempunyai jiwa kemanusiaan yang kuat dan mampu menjadi insan yang cemerlang secara holistik dan bersepadu.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)