Oleh: Fatimah Abd Kadir
TANJONG MALIM: Perpaduan tidak memberi erti kalau sekadar dalam lafaz dan kata semata-mata, tetapi ia perlu diterapkan dan disemai dalam diri untuk mewujudkan sebuah komuniti mahasiswa yang harmoni.
Bagi memupuk nilai ukhuwah bersama, Kolej Harun Aminurrashid (KHAR) melalui Exco Blok Kediaman 2 atau juga dikenali sebagai Aurellia telah menganjurkan Aurellia Fun Explorace yang berlangsung pada 2 Disember bertempat di perkarangan Kolej Harun Aminurrashid bermula jam 8:00 pagi hingga 11:30 pagi. Program ini mendapat sambutan yang memberangsangkan dengan penyertaan seramai 108 orang penghuni Blok Kediaman 2 yang terdiri daripada 18 kumpulan yang bersaing secara sihat melalui aktiviti permainan yang dijalankan.
Selain itu, program ini dijalankan sebagai satu platform bagi merapatkan jurang antara penghuni Blok Kediaman 2 yang mempunyai pelbagai latar belakang bangsa dan agama. Program Aurellia Fun Explorace ini merangkumi beberapa aktiviti seperti baling selipar, isi air dalam botol, belon air dan baling ping pong dalam bekas telur. Aktiviti yang diadakan ini bukan sahaja memanfaatkan masa lapang yang ada malah dapat menggamit kenangan manis bersama penghuni Aurellia.



Pengarah Program Aurellia Fun Explorace, Izzatul Najwa Mohd Shahril menyatakan bahawa program yang dianjurkan telah mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada semua penghuni Blok Kediaman 2. Beliau menambah bahawa elemen ukhuwah dan kebersamaan perlu diselitkan dengan aktiviti yang mengundang gelak tawa dan keseronokan agar perpaduan dan semangat kesukanan antara penghuni dapat diwujudkan di antara penghuni Aurellia.


Selari dengan hasrat Felo Blok Kediaman 2, Nurul Najwa Mohamad yang berharap program ini dapat merapatkan lagi hubungan antara Felo Blok, ahli jawatankuasa Blok Kediaman 2 dengan penghuni Blok Kediaman 2 itu sendiri.
“Program sebegini merupakan inisiatif yang baik dalam mengeratkan hubungan sesama penghuni blok. Di samping itu, melalui program sebegini penghuni dapat berkenalan dengan lebih rapat bersama felo, ahli jawatankuasa blok dan juga sesama penghuni.”
Beliau turut berharap agar semua penghuni Blok Kediaman 2 dapat membina jambatan ukhuwah yang lebih kukuh dan dapat hidup dalam satu komuniti yang harmoni seperti sebuah keluarga bahagia.
Dr. Haji Che Anuar Che Abdullah, Pengetua Kolej Harun Aminurrashid turut meluahkan rasa bangga dan puas melihat perjalanan program Aurellia Fun Explorace yang berjalan dengan lancar dengan melihat raut wajah penghuni Blok Kediaman 2 yang sangat seronok dan mempunyai semangat kesukanan yang tinggi.
Beliau menambah bahawa nilai kebersamaan perlu diterapkan dalam diri penghuni KHAR untuk mewujudkan sebuah komuniti KHAR yang bertoleransi dan saling menghormati antara sesama mahasiswa.
Program ini memberikan peluang kepada penghuni mengisi masa lapang dengan aktiviti yang berfaedah sekali gus dapat menikmati kehidupan sebagai mahasiswa yang lebih sihat dan cerdas. Secara tidak langsung, objektif program tercapai dengan terciptanya hubungan positif dalam diri penghuni Aurellia.