Kuala Lumpur: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melalui Pejabat Karang Mengarang (Penerbit UPSI) telah mengadakan Majlis Apresiasi Sidang Editor Jurnal bertempat di Summit USJ Hotel hari ini.

Majlis Apresiasi Sidang Editor Jurnal UPSI yang julung kali diadakan sepanjang 20 tahun penerbitan jurnal di UPSI sebagai tanda penghargaan pihak universiti kepada 29 pasukan Sidang Editor Jurnal UPSI yang banyak berjasa dan komited dalam memberi sumbangan bagi meningkatkan reputasi jurnal UPSI di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Majlis turut meraikan 11 orang mantan ketua editor jurnal UPSI dan 38 sijil penghargaan telah diberikan kepada ketua editor dan editor yang berkhidmat lebih lima tahun.

Prof. Dr. Suriani semasa ucapan perasmian.

Majlis yang dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor dan Inovasi UPSI, Prof. Ts. Dr. Suriani Abu Bakar ini menyaksikan sebanyak lima anugerah khas telah diberikan kepada penerima berdasarkan kriteria yang telah ditetapkan. Prof. Madya Dr. Mohamed Nor Azhari Azman telah dinobatkan sebagai Anugerah Ketua Editor Cemerlang, Anugerah Pasukan Editor Jurnal Terbaik dirangkul oleh Journal of Science and Mathematics Letters, Malaysian Journal of Music dan Journal of ICT in Education memenangi Anugerah Kejayaan Berimpak, Anugerah Penjanaan diberikan kepada Jurnal Pendidikan BITARA UPSI manakala Anugerah Kualiti Jurnal dirangkul oleh Asian Journal of Assessment in Teaching and Learning.

Pengarah Pejabat Karang Mengarang, Dr. Nordiana Hamzah dalam ucapan aluannya menzahirkan rasa terima kasih kepada semua editor yang bertanggungjawab menaikkan jurnal UPSI.

“Editor jurnal memainkan peranan yang amat penting dalam membentuk landskap akademik, mereka tidak hanya bertanggungjawab untuk memastikan mutu dan kredibiliti penyelidikan yang disampaikan, tetapi juga menjadi penjaga pintu kepada ilmu pengetahuan yang berkualiti,” katanya.

Sementara itu, Prof. Dr. Suriani dalam ucapannya berkata, “UPSI perlu meningkatkan lagi usaha bagi menarik lebih ramai pensyarah untuk bekerjasama dalam menghasilkan artikel sekaligus mempromosikan jurnal-jurnal UPSI ini bagi melahirkan impak yang baik kepada universiti”.

Beliau turut berkongsi kejayaan jurnal UPSI buat julung kalinya di dalam Anugerah MAPIM-KPT, Kali ke-14 yang akan berlangsung pada 22 Disember 2023 ini. Selain itu, kejayaan Malaysian Journal of Music bagi kategori pemenang utama Anugerah Makalah Jurnal Terbaik Kemanusiaan dan Sains Sosial Indeks Antarabangsa serta Journal of ICT in Education yang menerima anugerah pemenang penghargaan bagi kategori makalah jurnal terbaik kemanusiaan dan sains sosial yang diindeks di peringkat kebangsaan.

“Kejayaan ini bukan sahaja dapat membantu melonjakkan keterlihatan jurnal UPSI bahkan juga sebenarnya melambangkan prestasi kecemerlangan organisasi UPSI itu sendiri. Anugerah dan kejayaan ini diharap dapat meningkatkan motivasi dalam kalangan editor untuk mengekalkan kualiti yang tinggi bagi mendapat penarafan dan diiktiraf. Ini membuktikan semua editor telah memberikan perkhidmatan yang terbaik demi melonjakkan keterlihatan UPSI melalui peningkatan ranking dan penarafan di peringkat antarabangsa,” tambahnya lagi.

Majlis turut dihadiri oleh Dekan Fakulti Komputeran Meta-Teknologi, Prof. Madya Ing Dr. Maizatul Hayati Mohamad Yatim,  barisan Timbalan Dekan dan Ketua Pusat Tanggungjawab UPSI.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)