Tanjong Malim- Pendidikan memegang peranan penting sebagai pendorong utama perkembangan masyarakat dan ekonomi. Dalam mencapai matlamat kerajaan untuk membawa perubahan positif dalam pendidikan, kecerdasan buatan atau AI memperkenalkan anjakan paradigma baharu dalam pendidikan, membawa potensi untuk merombak cara kita mengajar dan belajar.
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) proaktif dengan menjadi peneraju melalui penganjuran Persidangan Kebangsaan Eksplorasi Pendidikan (PKEP) yang bakal diadakan pada 8 Oktober hingga 10 Oktober 2024 di Hotel Casuarina Meru, Ipoh, Perak.
Menurut Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) merangkap penasihat persidangan, Profesor Dr. Suriani Abu Bakar, PKEP merupakan satu platform inovatif untuk meneroka dan menghuraikan peranan serta potensi kecerdasan buatan dalam transformasi landskap pendidikan.
“PKEP menjelajahi hubungan sinergi antara pendidikan dan kecerdasan buatan, meneropong peluang-peluang baharu dan menangani cabaran-cabaran yang mungkin timbul dalam melaksanakan teknologi ini dalam kalangan institusi pendidikan,” katanya.
Menurut Profesor Dr. Suriani lagi, revolusi digital memberikan impak yang mendalam pada hampir semua aspek kehidupan, termasuk dalam dunia pendidikan. Justeru itu, UPSI menyahut seruan kerajaan untuk menjadi peneraju AI dalam bidang pendidikan di negara ini.
“Di era ini, kecerdasan buatan memainkan peranan sentral dalam merancang ulang cara kita mengakses, menyampaikan, dan mengamalkan ilmu. PKEP mengambil peranan utama dalam membahas bagaimana kecerdasan buatan, sebagai peneraju utama inovasi teknologi, dapat menerajui perubahan dalam pendidikan bagi meningkatkan pengalaman pembelajaran,” tambahnya.
Pengarah Pejabat Karang Mengarang yang juga Pengerusi PKEP, Dr. Nordiana Hamzah berkata bagi mencapai tujuan ini, wacana perkongsian ilmu hasil penemuan terkini berkaitan kecerdasan buatan khususnya melibatkan teknologi pendidikan menjadi fokus utama UPSI.
“Persidangan ini bertujuan untuk meningkatkan keterlihatan jurnal-jurnal terbitan UPSI di samping membuka peluang kerjasama dengan pelbagai agensi bagi menaik taraf jurnal UPSI dengan tema “Menerajui Pendidikan Menerusi Kecerdasan Buatan,” katanya.
Menurut Dr. Nordiana lagi, PKEP berperanan sebagai gelanggang perkongsian idea dan pengetahuan, mempersatukan pemikir-pemikir terkemuka dalam pendidikan dan teknologi untuk mengeksplorasi potensi terbesar kecerdasan buatan dalam membentuk masa depan pendidikan.
“PKEP menampilkan dua pakar AI dalam pendidikan iaitu Profesor Madya Dr. Azizi Abd Aziz dari Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Profesor Madya Dr. Bahbibi Rahmatullah dari Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi, UPSI. Bengkel Penulisan Artikel Menggunakan Aplikasi AI akan dikendalikan oleh Dr. Muhamad Fadzllah Zaini pensyarah Fakulti Bahasa dan Komunikasi, UPSI,” tambah Dr Nordiana.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Persidangan I PKEP dan pakar dalam Pendidikan Multimedia dan Rekabentuk Pembangunan Permainan, Dr. Laili Farhana Md Ibharim berkata, objektif PKEP termasuklah meneroka dan membentuk hala tuju inovatif dalam pendidikan yang diilhamkan oleh penggunaan kecerdasan buatan untuk meningkatkan kecekapan dan keberkesanan sistem pendidikan.
“PKEP bakal mengembangkan ilmu pengetahuan hasil kajian dan penemuan melalui wacana merangkumi pelajar pasca siswazah, ahli akademik, penyelidik, pengamal pendidikan dan industri dalam bidang pendidikan selain membincangkan dan mencari penyelesaian bagi cabaran kelestarian dalam pengintegrasian teknologi kecerdasan buatan di institusi pendidikan,” katanya
Menurut Dr Laili, PKEP bakal menyediakan peluang untuk berkongsi dan mendokumentasikan penyelidikan terkini dalam konteks pembelajaran dan pengajaran bagi memenuhi keperluan semasa yang bakal memarbatkan bidang pendidikan negara.
“PKEP disasarkan kepada pelajar pascasiswazah universiti dan institusi pendidikan (awam/swasta), pensyarah universiti dan institusi pendidikan (awam/swasta). pegawai-pegawai Kementerian Pendidikan Malaysia, pengamal industri berkaitan dan individu yang berminat di dalam atau di luar negara.” tambah beliau lagi.
Timbalan Pengerusi Persidangan II PKEP, Ahmad Janatul Firdaus Dzulkarnain berkata yuran peserta dikenakan sebanyak RM400.00, yuran pembentang (pelajar) RM500.00 dan yuran pembentang selain pelajar ialah RM700.00. Manakala peserta yang ingin terlibat dalam Bengkel Penulisan Manuskrip Menggunakan Aplikasi AI dikenakan yuran sebanyak RM300.00. PKEP ini juga membuka peluang penerbitan dalam jurnal terbitan UPSI (https://ejournal.upsi.edu.my) dan prosiding dengan e-ISSN.
“Tarikh akhir penerimaan kertas kerja ialah pada 31 Ogos manakala tarikh tutup pendaftaran ialah pada 30 September. Peserta yang berminat untuk menyertai PKEP boleh menghubungi Dr. Laili Farhana (017-5540815) atau Nor Azura Mustafa Bakri (019-8777973). Peserta juga boleh menghubungi Seksyen Penerbitan Jurnal, Pejabat Karang Mengarang, UPSI di talian 05-4505437 atau emelkan ke me.ejournal@upsi.edu.my,” tambah Ahmad.