Tanjong Malim- “Buku adalah jendela kehidupan”. Kalimat ini merupakan antara banyak lagi ungkapan yang kita dengari. Dengan buku, ilmunya boleh mengubah dunia, betapa ia menggambarkan pentingnya budaya membaca.

Menurut Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff, buku adalah sinar dan panduan dalam kehidupan. Malah sejak sekian lama, buku juga telah memainkan peranan yang amat penting dalam membentuk minda, amali serta budaya sesebuah masyarakat.

“Sehubungan itu, saya menyeru kepada adik-adik teruskan membaca, banyakkan membaca dan setelah membaca, fahami. Tidak berguna jika sekadar membaca tetapi tidak memahami dan setelah faham, kita perlu amalkan,”.

Tambah beliau, “Allah SWT telah menurunkan al-Quran bukan sahaja untuk kita membaca tetapi untuk kita fahami dan amalkan dan insya-Allah dengan amalan itu, kita akan sentiasa sejahtera sama ada di dunia mahupun di akhirat,”

“Walaupun kini teknologi telah mengubah kehidupan manusia. Tiada alasan untuk tidak membaca. Peranan buku juga telah berkembang lebih jauh bukan sahaja sebagai bahan bercetak, bahkan digital serta pelbagai media yang boleh dipelajari untuk membolehkan kita menghayati serta mengamalkan apa yang dituntut dalam kehidupan seharian. katanya pada majlis Perasmian Penutup Pesta Buku Ke-18 dan Pengumuman Ikon Membaca UPSI 2023.

Pada majlis anjuran Perpustakaan Tuanku Bainun (PTB) dan Pejabat Karang Mengarang (PKM), aktivis penulisan, Tuan Zamri Mohamad diumumkan sebagai Ikon Membaca UPSI 2023. Beliau berpengalaman lebih 20 tahun dalam industri penulisan meliputi isu-isu kekeluargaan, remaja, masyarakat dan agama serta telah menulis sebanyak 35 buah buku non fiksyen bersama isteri, Fazilah Isa selain mahir dalam menukarkan nota-nota kuliah pengajian menjadi rencana untuk akhbar, majalah dan platform atas talian.

Sementara itu, menurut Ketua Pustakawan, Noriha Muhammad penganjuran kali ini telah mencatatkan seramai 11,429 orang pengunjung sekaligus membuktikan penganjuran program sedemikian masih relevan untuk menarik minat pembaca walaupun masyarakat kini terdedah dengan perkembangan teknologi moden seperti buku elektronik.

“Walaupun e-book atau buku digital sudah mula menjadi pilihan pembaca, namun ia dilihat masih tidak dapat menggantikan buku yang dicetak atas helaian kertas. Untuk membaca buku digital kita perlu memuat turun aplikasi berkaitan sebelum dapat melayari atau membaca buku tersebut, namun buku fizikal kita terus dapat memegang dan membacanya menjadikan satu kepuasan,” ucap beliau.

Hadir sama Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Prof. Dr. Suriani Abu Bakar, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar & Alumni, Profesor Dr. Norkhalid Salimin dan Pengarah PKM, Dr. Nordiana Hamzah.

Pada program yang berlangsung selama 4 hari bermula 15 hingga 18 November di Dewan SITC ini menghimpunkan lebih 35 pempamer dan memasarkan hampir 10,000 buku pelbagai bidang ini padat dengan pengisian menarik dan aktiviti ilmiah seperti Program STEM Coffee Chat Series, Bual Bicara Kejayaan Disebalik Pengorbanan Bersama Bell Ngasri, Wacana dari Syy ke Pi Mai Pi Mai tang Tu, Mari Mewarna Bersama Uneh, Sembang Budaya Buku Wayang Kulit Kelantan, Evolusi Reka bentuk Gambalan Seri Rama, Rawana & Siti Dewi, Santai seni Bersama Putera Muhammad, serta Mari Bercerita Bersama Ummisham selain Fiesta Jualan Gerai dan Trak Makanan.