Oleh: Shahir Suhaini
Tanjong Malim – Buat julung kalinya, Pasukan Sukarelawan Polis Siswa Siswi (PSP) Kor SUKSIS UPSI dengan kerjasama Persatuan Pengurusan dan Ekonomi Fakulti Pengurusan dan Ekonomi (PPEFPE) UPSI menganjurkan forum ‘Pendidikan Jenayah Siber, Mahasiswa Cakna Generasi Digital bertempat di Kampus Sultan Azlan Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada 7 Januari lalu.
Forum ini menampilkan dua orang ahli panel jemputan iaitu Dr. Khalizul Khalid, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni dari Fakulti Pengurusan dan Ekonomi UPSI dan Deputi Supritendan Suresh Kumar A/L Muniandi, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak. Perasmian forum ini disempurnakan oleh Profesor Madya Dr. Asri Mohd Noor, Dekan Fakulti Pengurusan dan Ekonomi. Turut hadir memeriahkan majlis iaitu delegasi dari IPK Perak seramai 4 orang pegawai pengiring diketuai oleh Asisten Supritendan Anizan Adnan dari Perancangan Strategik IPK Perak.
Forum yang dihadiri 250 orang peserta ini bertujuan untuk menyebarkan maklumat dan pengetahuan asas kepada warga UPSI khususnya mahasiswa mahasiswi serta kakitangan universiti berkaitan modus operandi dalam jenayah siber agar tidak mudah percaya dengan sebarang iklan, pujukan atau tawaran pada mana-mana platform media sosial atau ketika dihubungi secara langsung melalui telefon atau Short Message Service (SMS) bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan. Di samping itu, forum ini juga mengetengahkan sudut pandang ekonomi dari segi elemen pelaburan yang selamat dan berkesan.
Penghargaan diberikan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan forum ini lebih-lebih lagi kepada peserta yang hadir sehingga tamatnya forum ini. Tidak lekang juga maklum balas yang diberikan oleh para peserta dengan menyambut baik hasrat daripada pihak penganjur supaya meneruskan program sebegini yang melibatkan terus mahasiswa dan mahasiswi bersama pihak agensi seperti PDRM agar kefahaman dapat diperoleh seiring dengan slogan “Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada”.