Tanjong Malim– Generation Night atau lebih popular sebagai GENNI merupakan satu tradisi yang tidak asing bagi pelajar Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan (FSSK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Tradisi turun temurun yang diadakan ini bertujuan untuk mengiktiraf nama batch yang baharu pada setiap semester mengikut takwim pengajian pelajar di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
GENNI pada kali ini yang berlangsung pada 12 Januari lalu mengiktiraf dan mengalu-alukan batch Tigris, pelajar Ijazah Sarjana Muda semester 2 dan batch Raptor pelajar Diploma semester 4. Bertemakan “Rock and Roll”, majlis yang dihiasi dengan kepelbagaian warna dan gaya pakaian yang dikenakan oleh pelajar dan tetamu jemputan ini telah dirasmikan oleh Dekan Fakulti Sains Sukan Kejurulatihan, Dr. Jaffry Zakaria. Seterusnya, majlis ini diserikan lagi dengan kehadiran barisan kakitangan Akademik, Penasihat Akademik dan kakitangan Pentadbiran bagi memberi sokongan dan penghargaan kepada pelajar yang terlibat.
“Program ini sebenarnya banyak memberikan input yang berguna kepada mahasiswa dan mahasiswi sekalian terutamanya dalam mencetuskan idea dan mempelajari ilmu secara tidak langsung akan membentuk satu transformasi gerak kerja yang berjaya berdasarkan kebijaksanaan dan kesungguhan dalam menjayakan program ini,” ucap Dr. Jaffry Zakaria.
Selain upacara penamaan batch, Majlis Perpisahan Graduan turut diadakan bagi menghargai batch pelajar yang bakal menamatkan pengajian mereka. Sepanjang majlis berlangsung, pelajar senior dan pelajar junior dapat bergaul dan berinteraksi mesra menerusi pengisian majlis seperti cabutan bertuah dan pertandingan King and Queen of The Night yang mana secara langsung dapat mengeratkan hubungan persahabatan sesama batch.
Pengarah program Generation Night, Hafiz Abdul Karim berkata “Secara keseluruhannya saya merasakan majlis penamaan batch ini adalah tradisi turun temurun yang patut diteruskan. Sesungguhnya tradisi ini kebanggaan seluruh warga Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan kerana ini adalah satu-satunya program yang dapat menghimpunkan kesemua warga fakulti baik dari kalangan pelajar dan kakitangan.”
Dr. Rozaireen Muszali, Timbalan Dekan (HEPA) Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan menyatakan bahawa majlis GENNI ini adalah majlis mengangkat nama bagi generasi baharu di Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan. Nama batch ini dipilih atas kesesuaian mengikut logo yang telah dirangka di mana pelajar perlu menanam keazaman dengan membawa nama batch ini sebagai simbol pengajian apabila keluar nanti.
Dengan adanya Generation Night ini, pelajar akan lebih memahami pentingnya penamaan batch sebagai satu pembentukan identiti pelajar dalam satu kumpulan. Selain dapat menyuntik semangat dan meningkatkan daya saing yang sihat dalam kalangan pelajar FSSK, pelajar juga dapat lebih bekerjasama dalam mempertahankan nama baik dan prestasi cemerlang batch mereka.