Oleh: Tuan Nur Izyani Tuan Khairul Anuar 

Kuala Lumpur, 20 April 2024– Sebutir harapan bercambah menjadi kekuatan. Itulah misi yang berjaya direalisasikan menerusi program Sparks of Hope: Denyutan Jiwa Gelandangan “Malaysia Madani,Gelandangan Disantuni.” Program ini merupakan anjuran Exco Perpaduan dan Integrasi Majlis Mahasiswa Kolej Harun Aminurrashid (KHAR) Sidang 2023/2024, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bertempat di Anjung Kembara, Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur, Yayasan Kebajikan Negara dan sekitar Chow Kit, Kuala Lumpur.

Program ini melibatkan lebih 60 orang gelandangan yang merupakan penghuni Anjung Kembara, Pusat Transit Gelandangan, Kuala Lumpur. Program ini berkonsepkan Knowledge Transfer Program (KTP)di mana penghuni yang terdiri daripada gelandangan akan diajar berkenaan teknik refleksologi kaki yang dikongsikan oleh Kelab Rehabilitasi Sukan UPSI dimana melalui perkongsian ilmu ini gelandangan yang terlibat dapat memanfaatkan ilmu dan teknik yang dipelajari. Hal ini selaras dengan objektif program Semarak Siswa Madani Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang menekankan usaha sama di antara IPTA dengan industri tempatan untuk pengukuhan ilmu terhadap komuniti dan industri di Malaysia.

Di samping itu, sesi perapian diri melalui perkhidmatan gunting rambut secara percuma turut dilaksanakan dan dikendalikan sepenuhnya oleh jawatankuasa pelaksana program melalui slot From Hairrific To Terrific. Melalui slot Share N Sparkle, penghuni dihadiahkan barangan keperluan bagi setiap orang seperti barangan kebersihan dan barangan asas. Selari dengan hasrat yang termaktub dalam Matlamat Rancangan Pembangunan Mampan ketiga iaitu ingin memastikan kehidupan yang sihat dan menggalakkan kesejahteraan untuk masyarakat sejagat tanpa mengira peringkat umur mahupun status sosial.

University Social Corporate (USR) yang menjadi teras program ini dijayakan dengan kerjasama erat daripada Yayasan Kebajikan Negara, Persatuan Empayar Kebajikan Malaysia (Empire Project), MR. D.I.Y (M) Berhad, UPSI Holdings Sdn Bhd, WEZAS UPSI, UCTC UPSI dan Anjung Kembara, Pusat Transit Gelandangan, Kuala Lumpur, Persatuan Kebajikan dan Dakwah Singgah Teduh Nur Qaseh.

Menurut Pengarah Program, Sudhani Teh Zhi Hui yang juga merangkap Exco Perpaduan dan Integrasi Majlis Mahasiswa Kolej Harun Aminurrashid Sidang 2023/2024, program ini bertujuan memupuk semangat perpaduan dalam kalangan mahasiswa dan komuniti setempat dalam membantu dan menanam sikap empati terhadap komuniti gelandangan yang kurang bernasib baik di samping memperoleh pengalaman yang berharga dalam membantu dan berinteraksi secara terus dengan komuniti gelandangan. Sebanyak 400 hygiene kit dan barangan keperluan, serta 100 pek makanan telah disalurkan kepada golongan gelandangan hasil tajaan daripada MR.DIY (M) Berhad, Empire Project, ProduxPro Sdn. Bhd serta pihak kolaborasi lain.

“Program yang bertemakan Knowledge Transfer Programme (KTP) ini dijalankan dengan objektif memupuk semangat perpaduan dalam kalangan mahasiswa dan komuniti berbilang kaum di mana hal ini bertepatan dengan inisiatif Kementerian Pengajian Tinggi melalui Program Semarak Siswa Madani yang memfokuskan perhubungan akrab antara mahasiswa dan komuniti,” katanya.

Pegawai Operasi Kanan Anjung Kembara, Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur, Yayasan Kebajikan Negara Amiruddin Abdul Rahman selaku menyatakan bahawa program ini berjaya memupuk semangat perpaduan antara pelbagai kaum dan memberi manfaat kepada para penghuni mahupun pelaksananya.

“Saya berpendapat program ini dapat membantu mahasiswa untuk meningkatkan kemahiran komunikasi dengan komuniti setempat dan mengubah perspektif yang lebih positif terhadap mereka yang kurang bernasib baik.”

Selaras dengan aspirasi Naib Canselor UPSI iaitu bagi memperkukuhkan keinsanan mahasiswa dalam menyumbang kepada masyarakat sebagai sebuah universiti yang bitara dalam pembentukan sahsiah dan modal insan cemerlang.

Pengetua KHAR, Dr. Che Anuar bin Che Abdullah meluahkan rasa bangga terhadap pencapaian program kerana ia berjaya menepati objektif untuk memupuk semangat kerjasama dan perpaduan serta sikap cakna dan prihatin dalam kalangan mahasiswa yang berbilang kaum terhadap golongan yang memerlukan.

Penasihat program, Nurul Najwa Mohamed menzahirkan rasa syukur dan bangga dengan penganjuran program yang mendapat sambutan hangat dan luar biasa daripada pelbagai pihak termasuklah mahasiswa UPSI, badan-badan bukan kerajaan (NGO) serta syarikat-syarikat tertentu dalam menghulurkan sumbangan.

Secara keseluruhannya, program ini telah membuka minda dan peluang kepada mahasiswa dalam mencari solusi dan bertindak secara inovatif bagi menolong golongan kurang yang bernasib baik ini supaya mereka mampu mendapat inspirasi untuk berusaha ke arah kehidupan yang lebih baik. Diharapkan inisiatif sosial seperti ini dapat dijalankan dengan lebih kerap dalam mencapai sifar kemiskinan di seluruh negara.

Program berakhir dengan pengagihan makanan dan bantuan keperluan asas kepada golongan gelandangan bersama Pertubuhan Kebajikan Ar-Riqab di sekitar jalan Chow Kit, Kuala  Lumpur.