Parit – Program Anak Angkat merupakan salah satu program kesukarelawanan yang seringkali menerbitkan jutaan kenangan dan memori terindah buat mereka yang terlibat. Program ini memberi kesan yang mendalam kerana peserta dan keluarga angkat dapat merasai perbezaan gaya hidup, budaya dan komunikasi antara satu sama lain.

Baru-baru ini, 4 Kampung Mukim Belanja, Parit, Perak iaitu Kampung Sadang, Kampung Tua, Kampung Changkat Banjar dan Kampung Belanja Kiri telah menerima 49 orang pelajar dalam program Inernational Volunteering Programme (IVP). Program IVP yang terdiri daripada 25 orang pelajar antarabangsa dan 24 orang tempatan daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Philippine Normal University (PNU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Teknikal Melaka (UTeM).

Program selama tiga hari dua malam ini dianjurkan oleh Majlis Mahasiswa Kediaman Luar Kampus dengan kerjasama Pejabat Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Negeri Perak, Paynet Network Sdn. Bhd., Yayasan Perak, Legasi Setiakawan Enterprise, Torpedo Resources, UPSI Holding Sdn. Bhd., Sadang Mali Enterprise dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

Perasmi Program, Yang Berhormat (YB) Khairuddin Abu Hanipah, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Negeri Perak berkata, ini merupakan kali pertama keluarga angkat menerima pelajar antarabangsa daripada Mesir, Yemen, Nigeria, Somalia, Eritrea, Syria, Filipina, Bangladesh, China dan Indonesia. “Saya berharap keluarga angkat dan peserta dapat berkenal-kenalan, bertukar pandangan berkaitan budaya, gaya hidup dan makanan tempatan. Jadikan program ini sebagai satu medan kepada peserta untuk mencari pengalaman, pengetahuan dan menerokai kemahiran masyarakat kampung agar menjadi panduan pemimpin dan pendidik masa hadapan”, ujar beliau.

Timbalan Naib Canselor (HEP&A) UPSI, Prof. Dr. Norkhalid Salimin merakamkan penghargaan kepada YB, JKKK, dan 15 orang keluarga angkat yang menerima kehadiran 49 orang peserta. “Saya memohon keluarga angkat agar dapat menyantuni dan mendidik peserta-peserta ini dengan penuh kasih serta teguran yang membina demi pengukuhan adab dan akhlak mereka”, ujar beliau.

Pengarah Program, Siti Zulaikha Zakaria berkata objektif program ini adalah untuk memberi peluang kepada semua pelajar agar merasai dan melalui pengalaman budaya serta gaya hidup masyarakat kampung di Perak. “Saya dan rakan-rakan jawatankuasa teruja dapat mengendalikan program ini kerana mendapat sambutan penyertaan pelajar luar negara dan Universiti Awam” katanya.

Salah Seorang Peserta, Liu, Stephanie Abrea daripada PNU memaklumkan rasa gembira dan seronok dengan budaya Malaysia. “Ini kali pertama saya mengayakan baju kurung dan makan menggunakan tangan. Saya berterima kasih kepada jawatankuasa program kerana menganjurkan aktiviti yang menarik sepanjang program IVP ini berlangsung iaitu Slot Kepimpinan dan Gotong Royong di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Muhammad Shah dan Sekolah Kebangsaan Belanja, Malam Kebudayaan dan Rewang Kenduri Rakyat”, tambah beliau.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)