Oleh : Muhammad Amirul Haizam Mohd Hafiz
5 April 2024,

Tanjong Malim: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melalui Majlis Anak Johor (M@JOR) UPSI telah menganjurkan Pertandingan Video Tiktok Kreatif: Raya Di Sebalik Lensa yang mana pertandingan tersebut terbuka kepada semua mahasiswa IPTA/IPTS dan pelajar sekolah rendah dan menengah.  Pertandingan tersebut berlangsung bermula dari 5 April 2024.

Dengan kolaborasi bersama Persatuan Multimedia Kreatif (PMK), Himpunan Anak Kedah (HAK), Jalinan Anak Sarawak (JASA), Majlis Mahasiswa Anak-Anak Pahang (MAMPAN), Persatuan Mahasiswa Johor (PEMASHOR) Universiti Malaya, Sekretariat Anak Johor (SOHOR) Universiti Malaysia Terengganu, Johor Students’ Association of Jordan (JOJO) dan Yayasan Pelajaran Johor (YPJ), pertandingan ini mendapat sambutan yang sangat menggalakkan.

Pada 4 Mei 2024, telah berlangsungnya majlis penutupan secara atas talian melalui platform Google Meet yang telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Tuan Haji Mohd Yusla Ismail selaku Adun Senggarang merangkap Adun Angkat M@JOR. Terdapat beberapa kategori yang dipertandingkan seperti kategori peringkat sekolah, peringkat IPTA/IPTS dan kategori like terbanyak di platform TikTok.

Menurut Tuan Haji Mohd Yusla Ismail, “Program seperti ini dapat mencungkil bakat dan memberi peluang kepada mahasiswa untuk berkarya malah dapat memberi galakan kepada komuniti agar menjadi lebih cakna akan keunikan dan kesenian di dalam negara. Ia juga dapat mengasah bakat mahasiswa dalam berfikiran kreatif dan kritis dalam memperkenalkan budaya Melayu kepada masyarakat luar. Selain dapat menyemaikan rasa cinta terhadap budaya dan kesenian negara, ia juga dapat mewujudkan persaingan yang sihat dalam memastikan program yang dirangka kekal relevan mengikuti peredaran masa sekaligus dapat melatih mahasiswa/i berorganisasi melalui proses perancangan, pentadbiran, pengurusan, penyelarasan, dan kepimpinan bagi sesuatu program berprotokol agar kemahiran kepimpinan dan kerja berpasukan dapat dipertingkatkan.”

“Tujuan utama program ini diadakan adalah merupakan salah satu inisiatif untuk mencungkil bakat mahasiswa-mahasiswi dalam penghasilan video kreatif disamping menggambarkan suasana Hari Raya Aidilfitri yang unik kerana setiap individu mempunyai cara yang tersendiri bagi meraikannya. Keunikan sesuatu budaya dalam meraikan Hari Raya Aidilfitri itu perlu bergerak seiring dengan kepesatan teknologi agar ia dapat memberi manfaat kepada komuniti sekaligus ia dapat membantu memelihara nilai budaya dan kesenian itu sendiri”, ujar daripada Pengarah program, Megat Adham Putra Alias.

Pertandingan Video Tiktok Kreatif: Raya Di Sebalik Lensa diakhiri dengan pengumuman pemenang bagi kategori pelajar sekolah, tempat ketiga dimenangi oleh Izzah Nabihah Sazahly dari MRSM Bentong, tempat kedua disandang oleh Muhammad Hilman Mukhriz dari SK Sultan Mudzaffar Shah dan johan dijuarai oleh Irfan Harith Sazahly dari SK Meru.

Bagi kategori IPTA/IPTS, tempat ketiga dimenangi oleh Muhammad Nasrul Nadzief Nasrodin dari Universiti Pendidikan Sultan Idris, tempat kedua disandang oleh Muhammad Akmal Nurhakim Rosli dari Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah dan johan dijuarai oleh S.Darveen Vellu Shahmuga Vello dari Universiti Malaysia Terengganu.

Bagi kategori like terbanyak dimenangi oleh Muhammad Hilmah Mukhriz dari SK Sultan Mudzaffar Shah dan Muhammad Nur Syakir Mohd. Nordin dari Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Program berbentuk pertandingan seperti ini sememangnya menjadi salah satu fokus utama M@JOR dalam mencungkil bakat dan kreatif pelajar dan mahasiswa/i untuk bergiat aktif walaupun secara atas talian. Diharapkan agar program sebegini bakal diteruskan lagi pada masa akan datang.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)