Oleh: Luqmanul Hakim Abd Aziz, Nurul Adila Hasan Albakri, Ummikalsum Mat Lazim
24 Mei 2024
Tanjong Malim: Persatuan Tahfiz Qiraat (PTQ), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah mengadakan Program Ihya’ Ramadhan Bersama PTQ yang berlangsung sepanjang bulan Ramadhan. Program ini melibatkan pelbagai lapisan warga UPSI terutamanya para pelajar dan pensyarah secara atas talian di rumah masing-masing.
Di antara program yang dilaksanakan adalah Ceramah Ambang Ramadhan yang disampaikan oleh Pengerusi Yayasan Islam Negeri Kedah, Ustaz Rodi. Program ini bertujuan memberi gambaran awal kepada pelajar UPSI berkenaan persediaan menghadapi bulan Ramadhan. Ia bukan sahaja membincangkan mengenai amalan-amalan di bulan puasa tetapi memberi pencerahan berkenaan hukum hakam berkaitan puasa.
Selain itu, turut diadakan Program Tadarus bersama PTQ melibatkan seluruh warga UPSI. Program ini membuka peluang kepada warga UPSI untuk bertadarus bagi mengkhatamkan bacaan 30 juz al-Quran. Program ini diadakan secara berkala pada setiap petang selepas Asar dengan membaca sebanyak satu juz setengah yang diketuai oleh qari daripada pelajar PTQ. Program tamat pada 24 Ramadhan dan seterusnya diadakan Majlis Khatam PTQ pada 7 April.
Di antara program yang menarik perhatian para peserta Ihya’ Ramadhan Bersama PTQ adalah Ceramah Memburu Lailatul Qadar. Ceramah ini telah disampaikan oleh Ustaz Azhar Bin Hasyim. Program ini bertujuan memberi kesedaran kepada warga UPSI berkenaan kepentingan malam Lailatul Qadar. Intipati yang dikongsi memastikan warga peka dan mengambil berat tentang fadhilat sepuluh malam terakhir Ramadhan bagi memastikan Ramadhan berakhir tanpa penyesalan.
Selain itu, satu “Kempen Sedekah 1 Hari RM1”, “Quotes Ramadhan” daripada para pensyarah dan pimpinan persatuan, “Contest Video Ramadhan” dan kuiz Ramadhan selama tiga minggu turut diadakan.
Pada Ahad, 7 April 2024, Program Ihya’ Ramadhan Bersama PTQ telah melabuhkan tirai dengan penganjuran Majlis Khatam al-Quran beserta Majlis Penutup. Program penutup Ihya’ Ramadhan telah dirasmikan oleh Penyelaras Program Tahfiz al-Quran dan Qiraat, Dr. Wan Muhammad Hafizuddin bin Wan Abd Halim. Beliau mengungkapkan rasa syukur di atas komitmen yang diberikan warga UPSI dalam memeriahkan Program Ihya’ Ramadhan Bersama PTQ. Menurut beliau, usaha yang ditunjukkan sepanjang bulan Ramadhan menjadi asbab kepada rahmat dan keredhaan Allah kepada kita semua.
Semoga dipertemukan di Ramadhan akan datang, insya Allah.