Oleh : Nur Liyana dan Aiman Fahim
Tanjong Malim: Pembelajaran sambil belajar yang bersifat ‘Fun and Learn’ merupakan pendekatan yang mengintegrasikan unsur-unsur pembelajaran dengan aktiviti-aktiviti yang menyeronokkan dan merangsang. Pendekatan ini bertujuan untuk menjadikan proses pembelajaran lebih menarik, berinteraksi, dan berkesan bagi pelajar. Melalui pembelajaran ini peserta dapat meningkatkan motivasi, minat, dan pemahaman peserta terhadap konsep pembelajaran. Program Caliph Camp 3.0: Fun And Learn! yang merupakan kesinambungan daripada Program Caliph Camp 2.0 ini menggunakan konsep yang mengaplikasikan ketiga-tiga elemen Ulul Albab iaitu Quranik, Ensaiklopedik dan Ijtihadik.
Program yang berlangsung selama tiga hari iaitu pada 27 hingga 29 Mei bermula jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang merupakan anjuran Kelab Sahabat Ulul Albab (KeSUA) dengan kerjasama Pusat Ulul Albab (PUA) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Program ini telah berjaya mengumpulkan seramai 21 orang pelajar sekolah rendah dari lingkungan umur 8 hingga 12 tahun yang terdiri daripada anak-anak pensyarah dan staf UPSI sekaligus mereka yang tinggal di sekitar kawasan Tanjong Malim.
Program ini juga dikendalikan sepenuhnya oleh 15 orang fasilitator dari Kelab Sahabat Ulul Albab (KeSUA) yang terlatih serta berpengalaman. Sepanjang kem tersebut, peserta didedahkan dengan pengisian modul-modul yang menarik dan bermanfaat. Kem ini juga turut diisi dengan pengetahuan Islam, sains dan pengisian rohani iaitu modul Ice Breaking, Smart Quran, Smart Solat & Fardhu Ain, STEM: Fun & Science, Eng to Big, Solution Seekers, Art to Heart, Super Duper dan Kalimah Akhirah.
Slot pertama didahului dengan Modul Ice Breaking & Taaruf. Tujuan modul ice-breaking dan taaruf adalah untuk memulakan sesi dengan cara yang santai, menyeronokkan, dan membolehkan peserta untuk mengenali satu sama lain dengan lebih serta dapat mengukuhkan lagi tali silaturrahim antara mereka. Modul ini membantu dalam membina hubungan positif antara peserta. Melalui aktiviti-aktiviti yang melibatkan kerjasama dan komunikasi, peserta dapat merasai kebergantungan antara satu sama lain dan mula membina ikatan sosial.
Modul Smart Quran membawa para peserta mendalami tentang surah Al-Fatihah dan penurunan surah Al-Fatihah. Selain itu, terdapat juga aktiviti praktikal bagi membetulkan bacaan Al-Fatihah dan pengenalan terhadap nama-nama lain bagi Al-Quran serta pengenalan tajwid terhadap setiap huruf Al-Quran. Modul ini memberi fokus kepada bacaan panjang dan pendek, sukun dan qalqalah di mana ia disusun agar bersesuaian dengan tahap pelajar sekolah. Tujuan Modul Smart Quran adalah untuk menyediakan platform pembelajaran interaktif dan bermaklumat yang membolehkan individu untuk memahami, menghafal, dan mengamalkan ajaran Al-Quran dengan lebih efektif.
Seterusnya, Slot Ketiga diteruskan dengan modul Smart Solat & Fardhu Ain di mana modul ini memberi pendedahan kepada peserta tentang wuduk serta solat. Kedua-dua modul ini merupakan ilmu yang wajib dipelajari disebabkan dan merupakan ibadah fardhu ain yang wajib diketahui oleh setiap umat islam. Slot wudhuk ialah slot di mana perkenalan peserta dalam mengenali bahagian-bahagian anggota wudhuk yang terlibat serta cara mengambil wudhuk yang betul manakala bagi slot solat pula menekankan terhadap pergerakan solat serta bacaan dalam solat.
Slot STEM yang bermodulkan ‘Science Technology Engineering Mathematics’ ini adalah bertujuan untuk mendedahkan kepada semua peserta bahawa dunia sains dan teknologi itu saling melengkapi dan memerlukan antara satu sama lain. Dalam pada masa yang sama juga, modul ini memberikan gambaran kepada para peserta di mana dunia sains itu sebenarnya sangat luas dan menyeronokkan. Modul ini dimulakan dengan permainan yang pertama iaitu, ‘Make it Stand’. Permainan ini menggunakan konsep kestabilan dimana para peserta perlu mendirikan botol yang berisi air di atas chopstik. Peserta dibekalkan dengan 4 batang chopstik dengan 4 cawan sebagai tapak. Seterusnya, aktiviti yang dijalankan ialah ‘Cup Staking’ di mana para peserta perlu membina piramid cawan tanpa menggunakan tangan. Mereka hanya diberikan satu getah yang diikat dengan tali di sekelilingnya. Permainan ini bertujuan untuk menunjukkan para peserta di mana bidang sains memerlukan kerjasama dan daya fikir yang jauh dari yang lain. Akhir sekali, permainan yang dijalankan ialah ‘Roket Tindak balas’. Permainan ini memerlukan beberapa bahan kimia seperti cuka dan soda bikarbonat. Apabila dicampurkan dua bahan tersebut, tekanan yang terkumpul di dalam botol itu akan memaksa botol untuk naik ke atas. Para peserta berasa sangat teruja kerana mereka berjaya menghasilkan roket mereka sendiri.
Pada hari ke dua, Slot kelima iaitu slot yang menggunakan modul English to Big membawa pendedahan kepada para pelajar tentang asas penggunaan bahasa Inggeris dan bahasa Arab secara harian melalui komunikasi. Modul ini memberi pencerahan kepada para peserta bahawa penggunaan bahasa asing selain bahasa melayu lebih mudah dan menarik untuk dipelajari.Terdapat juga pembelajaran mengenai asas perbualan harian dalam bahasa Inggeris dan bahasa Arab. Di samping itu, peserta juga dapat mempraktikkan penggunaan bahasa asing yang dipelajari di rumah masing-masing bersama keluarga. Slot ini dapat memupuk semangat kerjasama dalam diri peserta melalui permainan yang dilakukan sewaktu aktiviti berlangsung.
Kemudian, Slot Solution Seekers diteruskan sebagai slot keenam. Aktiviti ini menggunakan modul yang menekankan praktikal terhadap modul English to Big. Slot ini mendedahkan kepada peserta cara asas dalam menyelesaikan masalah harian. Selain itu, aktiviti ini juga dapat meningkatkan kemampuan berfikir para peserta dalam menyelesaikan setiap masalah yang dihadapi. Terdapat permainan ‘easy egg’ di mana para peserta menyusun telur yang terdapat perkataan ringkas yang perlu disusun menjadi ayat. Selain itu,aktiviti ini juga mempraktikkan elemen ensiklopedik dan ijtihadik kepada para peserta melalui aktiviti yang dilakukan. Para peserta bermain permainan yang memerlukan pemikiran yang mendalam dalam mempraktikkan apa yang telah dipelajari. Modul ini disusun bersesuaian dengan tahap peserta serta mangasah daya fikir .
Pada sebelah petang, slot ketujuh iaitu slot ‘Art To Heart’. Slot ini memperkenalkan kepada peserta berkaitan asas seni yang merupakan elemen kreativiti dan inovatif yang tinggi serta bersesuaian dengan standard umur para peserta. 15 minit pertama, fasilitator memulakan slot dengan tayangan slide yang berkaitan apa itu seni dan bidang-bidang yang terdapat dalam seni. Setelah itu, aktiviti pertama merangkumi bidang reka bentuk industri, iaitu Celik DIY. Aktiviti ini menggunakan bahan DIY dan bahan keperluan disediakan oleh barisan fasilitator yang terlibat sama. Aktiviti ini memerlukan selama 20 minit sahaja. Selepas itu, aktiviti seterusnya disambung dengan ‘Vegetable-Printing-Painting’. Aktiviti ini memerlukan potongan sayur-sayuran yang mempunyai tekstur atau jalinan bagi menghasilkan corak pada permukaan kertas. Antara sayur yang dipilih ialah bendi, bawang merah dan limau serta ia memerlukan masa selama 30 minit. Aktiviti yang terakhir sekali ialah Tie-Dip-Colour ataupun dikenali sebagai batik ikat celup. Penggunaan tisu dapur yang tebal diberikan kepada setiap peserta beserta warna batik dan berus. Pic akan membuat demo kepada peserta dan peserta akan melihat dan mendengar serta membuat perkara yang sama. Ketiga-tiga aktiviti ini memerlukan perancangan dan bahan-bahan yang rapi bagi memudahkan proses penghasilan. Tuntasnya, slot ini memberi peluang kepada para peserta untuk memperkembangkan bakat seni yang ada dan daya kreativiti yang tinggi dapat dipupuk kepada peserta walapun diusia muda.
Pada hari terakhir, program diteruskan dengan slot super duper memfokuskan kepada ketahanan peserta dalam melakukan aktiviti fizikal, ianya terbahagi kepada beberapa permainan seperti lari sambil kepit belon, tiup tepung, isi air dalam botol dan beberapa permainan lain, mereka ditanya memgenai pembelajaran yang telah diajar sambil bermain.
Slot terakhir iaitu slot Kalimah Akhirah di lakukan bagi menilai prestasi setiap peserta sepanjang keterlibatan peserta dalam program tersebut. Pelbagai respon positif yang telah diberi oleh peserta sendiri terhadap sepanjang program yang berlangsung. Akhir sekali, peserta juga telah menunjuk refleksi serta impak yang besar terhadap program yang telah dijalankan.
Penyelaras 2 Pusat Ulul Albab UPSI, Dr. Samsudin Abdul Hamid berkata dalam ucapan beliau semasa Majlis Penutupan Program Caliph Camp 3.0: Fun And Learn! bahawa program ini akan dilaksanakan pada setiap cuti persekolahan secara berterusan. Beliau juga merakamkan jutaan terima kasih di atas sambutan yang amat menggalakkan daripada ibu bapa di sekitar kawasan Tanjong Malim apabila mereka begitu komited menghantar anak masing-masing menyertai kem tersebut.
Penasihat Program, Nor Hayati Aziz mengharapkan Program Caliph Camp ini dapat diperluaskan lagi dan menarik minat anak-anak di sekitar Tanjong Malim setiap kali musim cuti persekolahan agar anak-anak dapat memanfaatkan cuti persekolahan mereka dengan perkara-perkara yang berfaedah.Tambahan pula, program sebegini mampu memberi pengalaman dan menjadi salah satu nilai yang berharga sebagai persediaan kepada mahasiswa UPSI untuk memegang profesion dalam bidang pendidikan yang kian mencabar pada masa kini.