Penulis: Dr. Sakinah Sidek, Dr. Muhammad Ridhwan Sarifin dan Dr. Siti Nor Ashiqin Nordin
18 Jun 2024
Tanjong Malim: Kelestarian alam merupakan agenda penting bagi sesebuah negara dan salah satu elemen utama dalam Matlamat Pembangunan Lestari (Sustainable Development Goals, SDG) yang dikemukakan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Sehubungan itu, seramai 140 kakitangan Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menyahut kempen alam sekitar bagi menjamin kehidupan masyarakat pada masa hadapan. FSK secara konsisten melaksanakan tanggungjawab ke arah kelestarian alam melalui pelbagai inisiatif yang dirancang setiap tahun.
Dalam usaha mencapai misi kelestarian alam, Dekan FSK telah menubuhkan beberapa jawatankuasa bagi menyebarkan kepentingan alam sekitar bukan sahaja dalam komuniti kampus tetapi juga dalam komuniti setempat. Antara jawatankuasa yang ditubuhkan adalah Jawatankuasa Pelaksana Kampus Rendah Karbon @ UPSI, Jawatankuasa Sustainable Development Goals, Green Matrix dan Team Kesukarelawanan FSK (V-FSK4U).
Jawatankuasa ini memainkan peranan dalam kempen-kempen ke arah kelestarian alam sekitar bagi kesinambungan sistem ekologi. Dalam menjayakan inisiatif hijau, FSK juga menerima penganugerahan Low Carbon Cities Provisional Certificate dari Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam. Pencapaian FSK dalam inisiatif kelestarian ini mendapat sokongan erat daripada Naib Canselor UPSI serta pihak pengurusan tertinggi universiti berdasarkan Teras 6 Kelestarian Ekosistem.
Usaha ke arah kelestarian alam juga turut digerakkan melalui subjek kesukarelawanan UPU3412 yang terletak di bawah Fakulti Sains Kemanusiaan. Program kelestarian alam melalui aktiviti kesukarelawanan adalah satu inisiatif yang bertujuan untuk memelihara dan memulihara alam sekitar dengan melibatkan penyertaan mahasiswa dan komuniti dalam aktiviti sukarela.
Program ini biasanya melibatkan beberapa kerja sukarela seperti penanaman pokok, pembersihan pantai dan sungai, program pendidikan alam sekitar, pemuliharaan hutan dan pengurusan sisa. Hubungan industri juga terjalin melalui kerjasama antara pihak berkuasa tempatan, badan bukan kerajaan dan sektor swasta melalui program yang dilaksanakan.
Selain itu, FSK juga komited melaksanakan program-program berkait rapat dengan alam sekitar seperti Sambutan Hari Bumi peringkat UPSI, Community Recycling Project-Plastic Waste to Fuel, Karnival Alam Sekitar peringkat UPSI, Earth Hour, Auditan Pelaporan Karbon sempena Low Carbon Cities 2030 Challenge (LCC2030), dan Recycle and Low Carbon Program.
Malah, FSK telah menubuhkan satu pasukan baru yang dikenali sebagai Low Carbon Education & Recycle Research Center (LCERC-FSK). Pasukan ini berperanan dalam pendidikan dan kesedaran, penyelidikan dan pembangunan, jaringan dan kolaborasi serta pelaporan berkala mengenai kemajuan dan pencapaian dalam usaha mengurangkan karbon dan meningkatkan kitar semula.
Melalui peranan ini, LCERC-FSK dapat memainkan peranan kritikal dalam mempromosikan kelestarian alam sekitar dan mengurangkan jejak karbon, serta meningkatkan kesedaran dan pengetahuan masyarakat tentang kepentingan kitar semula. Program-program ini juga menyokong usaha UPSI mencapai penarafan Ranking Universiti Dunia UI-Greenmetric.
Pada 29 Jun 2024 (Sabtu), Fakulti Sains Kemanusiaan akan menganjurkan Majlis Peluncuran Community Recycling Project-Plastic Waste to Fuel, Karnival Alam Sekitar peringkat UPSI 2024 serta Hari Terbuka Fakulti Sains Kemanusiaan. Antara pengisian program pada hari tersebut adalah ceramah Alam Sekitar, Greenery Zumba, Quran Eco-fest, pertandingan permainan tradisional, Jualan Rahmah bergerak dan pameran daripada pelbagai agensi luar.
Karnival ini akan diadakan di Tapak Food Truck Kampus Sultan Abdul Jalil Shah dan melibatkan penglibatan mahasiswa, kakitangan UPSI, pelajar sekolah, komuniti setempat, peniaga serta agensi dan institusi luar. Melalui pelbagai inisiatif dan program yang dijalankan, FSK UPSI menunjukkan komitmen yang tinggi dalam melaksanakan tanggungjawab kelestarian alam, sejajar dengan matlamat untuk mencapai kesejahteraan dan keseimbangan ekologi yang mampan.