Oleh: Dr. Nurul Aini binti Mehat
14 Jun 2024

Tanjong Malim: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menandatangani dokumen Surat Niat (LoI) bersama Universitas Lambung Mangkurat (ULM), Indonesia ke arah pemeteraian kolaborasi pelbagai bidang antara kedua-dua pihak. LoI tersebut ditandatangani dalam satu acara di Bilik Mesyuarat Aras 1, Kompleks Malim Sarjana, Fakulti Sains Kemanusiaan, UPSI.

Sempena lawatan akademik ini, LoI ditandatangani oleh Dekan Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK), Prof. Madya Ts. Dr. Nor Kalsum binti Mohd Isa bersama wakil Dekan Fakultas Keguruan dan Ilmu Pendidikan, Prof. Dr. Deasy Arisanty, M. Pd. mewakili Universiti Pendidikan Sultan Idris dan Universitas Lambung Mangkurat, Indonesia.

Menerusi pemeteraian LoI tersebut, kedua-dua institusi mengambil langkah pertama dalam perkongsian aktif dan berusaha untuk menjalankan program manfaat bersama dalam kerjasama akademik termasuk penerbitan dan penyelidikan, webinar antarabangsa, pertukaran kakitangan dan pelajar, pendaftaran pelajar antarabangsa, penyertaan dalam program akademik, penyelidikan dan latihan mengajar antarabangsa.

Antara perancangan dari Jabatan Pengajian Malaysia, UPSI adalah seperti Matching Grant antara Program/Jabatan, pertukaran kepakaran antara tenaga pengajar, penilai tesis Sarjana/S2 atau projek tahun akhir bagi pelajar Ijazah Sarjana Muda (S1) dan menyertai aktiviti ULM ke Mindanao, Filipina & Selatan Thailand.

Jabatan Pengajian Moral, Sivik dan Pembangunan Karakter (JPMSPK) berhasrat mendapatkan kepakaran dari Pendidikan Pancasila dan Kewarganegaraan (PKN) berkaitan bidang pembangunan karakter. JPMSPK sedang membangunkan bidang ini dan turut mempelawa PKN untuk menghantar pelajar dan pensyarah bagi mengikuti program Master baharu Sarjana Pendidikan (Pengajian Moral dan Kewarganegaraan) yang akan ditawarkan pada Oktober 2024.

Cadangan program dan aktiviti lain yang diusulkan oleh Jabatan Geografi dan Alam Sekitar bersama ULM, Indonesia termasuk program mobiliti pelajar tidak berkredit dan program pertukaran pensyarah di ULM/UPSI. Bagi program pertukaran pelajar yang menjalankan latihan mengajar (LM), tempoh program adalah 8 minggu (pelajar UPSI) dan 4 minggu (pelajar ULM).

Kedua-dua pihak komited dalam kolaborasi ini bagi mengukuhkan lagi kerjasama untuk memberikan manfaat bersama antara kedua-dua universiti.

Dalam lawatan akademik ini, turut diadakan sesi Edu Tourism bersama Prof. Madya Dr. Kamarul Ismail dari Jabatan Geografi dan Alam Sekitar, UPSI mengenai “madu kelulut” yang semakin meluas penjanaannya kepada jabatan dan Fakulti Sains Kemanusiaan.

Kerjasama akademik yang dibincangkan dalam perjumpaan ini diharapkan dapat memberi manfaat kepada program pendidikan dan penyelidikan kedua-dua pihak. Semoga pertemuan ini membuka lembaran baharu dalam kerjasama akademik antara UPSI dan ULM.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)