Oleh: Nuralya Fatini

Tanjong Malim, 9 September 2024 – Pusat Islam Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berkolaborasi bersama dengan Pejabat Pentadbiran Agama Islam Daerah Muallim dan Kolej Awang Had Salleh (KAHS) dalam pelaksanaan program Bual Bicara Santai: Pergaulan Marak, Runtuh Akhlak 2.0 Siri 2.

Program ini telah dilaksanakan di Dewan Kolej Ungku Omar (KUO) melibatkan peserta yang terdiri daripada mahasiswi diploma UPSI yang menetap di KAHS. Manakala bagi mahasiswa diploma UPSI pula telah dianjurkan pada 3 September 2024.

Dengan pelaksanaan program ini diharapkan agar mahasiswa/wi UPSI diberikan kesedaran dan pencerahan tentang adab serta perlakuan layaknya sebagai seorang pelajar. Bukan itu sahaja, malahan program ini dianjurkan bagi memberi peringatan kepada mahasiswa/wi akan impak negatif daripada pergaulan bebas.

Program dimulakan dengan ucapan oleh Pendaftar Kanan Perkahwinan, Perceraian dan Ruju’ Orang Islam, A.F Ustaz Mohd Khairusy Syakirin Arifen seterusnya diikuti dengan ucapan Pengetua KAHS, Dr. Mardiana Ismail. Seterusnya, program diteruskan dengan sesi bual bicara santai yang disampaikan oleh Penyelaras Operasi Bahagian Penguatkuasa JAIPk, Tuan Hafez Rezal Abdul Manan.

Tuan Hafez telah menyampaikan beberapa perkara berkaitan dengan sikap sebagai seorang wanita yang seharusnya menjaga kesopanan dan kesusilaan. Selain itu, program diselitkan dengan beberapa hadis dan potongan ayat Al-Quran yang berkait bagi setiap penyampaian.

Antara hadis yang telah disebutkan dalam bual bicara pada malam itu ialah “Rasulullah S.A.W bersabda: Barangsiapa di kalangan kamu melihat suatu kemungkaran, maka hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya. Sekiranya dia tidak mampu maka hendaklah dia mengubahnya dengan lidahnya. Sekiranya dia tidak mampu maka hendaklah dia mengubahnya dengan hatinya. Yang sedemikian itu adalah selemah-lemah iman”.

Selain itu, beliau juga ada mengatakan berkaitan seburuk-buruk wanita adalah salfa. Iaitu golongan wanita yang mudah bergaul atau selesa dengan kaum lelaki. Maka, dari kata-kata ini mahasiswi memperoleh motivasi dan kesedaran untuk menjaga batas pergaulan.

Akhir sekali, program ditamatkan dengan sesi bergambar bersama tetamu jemputan dan para peserta.

Dihasratkan agar mahasiswa/wi UPSI mengambil iktibar dan berusaha untuk memperbaiki diri selepas menghadiri program ini. Seterusnya, mahasiswa/wi mampu untuk membezakan perkara yang baik dan buruk serta impak setiap perbuatan. Justeru, mahasiswa/wi mampu mengamalkan dan menyampaikan ilmu serta pesanan yang disampaikan oleh Tuan Hafez.