Oleh : Afrina Wafa Abdul Wahhib
Tanjong Malim, 7 September 2024 – Hari Kemerdekaan Malaysia disambut setiap 31 Ogos saban tahun merupakan satu tarikh yang sangat signifikan kepada semua warganegara.
Sempena sambutan bulan kemerdekaan tahun 2024, Exco Perpaduan dan Integrasi Majlis Mahasiswa Kolej Harun Aminurrashid (MMKHAR) sidang 2024/2025 menganjurkan Program Jiwa Merdeka: Mahasiswa Pemangkin Kemerdekaan dan Perpaduan Bangsa pada 23 Ogos hingga 7 September lalu.
Tujuan program ini adalah untuk mendorong mahasiswa Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan mahasiswa Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) seluruh Malaysia serta orang awam untuk menginterpretasikan semangat patriotisme dan cinta akan negara.
Terdapat dua pertandingan yang telah dijalankan dan mendapat sambutan yang sangat meriah iaitu Pertandingan Fotografi Lensa Merdeka yang disertai oleh 47 penyertaan dan Pertandingan Videografi Sandiwara Merdeka yang mendapat penyertaan seramai 14 orang.
Menurut Pengarah Program merangkap Exco Perpaduan dan Integrasi MMKHAR sidang 2024/2025, Muhammad Syukri bin Mohd Saifuddin berkata, “Merdeka adalah suatu perjuangan dan semangat yang harus dipupuk dan diteruskan dari generasi ke generasi.
Oleh itu, semangat patriotisme perlu sentiasa diperkasakan dalam diri mahasiswa dan orang awam bukan sahaja apabila datangnya Sambutan Hari Kebangsaan, malah ia perlu dilaksanakan secara konsisten dan berterusan.”
Exco Perpaduan dan Integrasi MMKHAR juga telah menganjurkan Forum Jiwa Merdeka: Mahasiswa Pemangkin Kemerdekaan dan Perpaduan Bangsa pada hari terakhir program ini dijalankan.
Forum ini dijalankan secara atas talian dengan menggunakan platform Google Meet dan Youtube serta mencecah jumlah penonton seramai 2392 orang.
Forum yang dilaksanakan pada 7 September 2024 ini melibatkan beberapa orang panel yang terdiri daripada mahasiswa tempatan di beberapa negeri.
Pihak penganjur telah menjemput saudara Muhammad Shamir Zulkifli dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) selaku panel pertama, Eksekutif Akademik dan Kerjaya Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Malaysia Pahang As-Sultan Abdullah (UMP), Ibrahim Ismail Ahmad selaku panel kedua, Naib Yang DiPertua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Khairuna Syahirah Zainuddin selaku panel ketiga, Timbalan Setiausaha Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM), Nur Aisyah Abdullah dan saudara Abdul Halim Bin Hassan daripada MMKHAR UPSI sebagai moderator Forum Jiwa Merdeka: Mahasiswa Pemangkin Kemerdekaan dan Perpaduan Bangsa.
Setiap panel telah memberi ulasan dan pandangan yang mendalam dan sangat komprehensif semasa Forum Jiwa Merdeka: Mahasiswa Pemangkin Kemerdekaan dan Perpaduan Bangsa.
Panel pertama telah mengatakan bahawa setiap individu termasuk mahasiswa, berpotensi untuk menjadi pemimpin di masa hadapan.
Panel kedua juga mengingatkan bahawa media sosial boleh menjadi pedang bermata dua, di mana penyebaran maklumat yang tidak tepat dan perbalahan dalam talian boleh menjejaskan usaha perpaduan dan memecahbelahkan masyarakat.
Selain itu, panel ketiga mengharapkan agar semua mahasiswa mengekekalkan identiti nasionalisme dan sentiasa berfikiran terbuka dalam setiap perkara. Panel yang terakhir juga ada memberi pepatah iaitu pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara.
Pengetua Kolej Harun Aminurrashid, Dr. Hj. Che Anuar Che Abdullah menzahirkan rasa bangga beliau kerana program yang dijalankan ini berjalan dengan lancar.
Program seperti ini akan mengasah semangat patriotisme serta memupuk nilai-nilai perpaduan dalam diri mahasiswa.
Felo penasihat serta perasmi bagi program ini, Dr. Maskanatul Fiqiyah menyatakan bahawa sepadan dengan tema Sambutan Hari Kebangsaan kali ke-67 iaitu Malaysia Madani: Jiwa Merdeka, program ini dapat membina kesepaduan secara holistik dan progresif serta menaungi rakyat yang berbilang kaum serta bersatu hati.
Secara keseluruhannya, program ini telah menyuntik kesepaduan dan perpaduan rakyat kepada orang awam serta mahasiswa IPTA dan IPTS supaya hidup aman dan harmoni dalam kepelbagaian kaum, agama serta ideologi.
Melalui penyertaan dalam program ini, besarlah harapan agar para peserta dan rakyat Malaysia dapat menjadi agen perubahan yang aktif dalam membangunkan masyarakat yang bersatu dan progresif.