Oleh: Bazli Razak
Tanjong Malim, 11 September 2024 – Kira-kira sekitar 2000 staf Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) hadir bagi mendengar perkongsian berkaitan jenayah scammer sempena Perhimpunan Bulanan Edisi September 2024 yang menjurus kepada Sambutan Hari Malaysia hari ini.
Ceramah yang bertajuk ‘Jangan Sampai Terciduk’ disampaikan oleh Duta Anti Scam, ASP/B Rahmat Fitri Abdullah dalam program yang berlangsung di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, UPSI.
Menurutnya, pelbagai taktik yang digunakan oleh penjenyah scammer pada masa kini untuk memastikan masyarakat termakan dengan umpan yang ditabur.
“Antara jenis scam yang dikenalpasti berlaku pada masa sekarang seperti loan scam, love scam, scam menyamar rakan, beli online, tekan link (duit hilang), scam pelaburan dan yang terkenal pada masa kini adalah phone scam.
Mengulas lanjut, Rahmat Fitri berkata, masyarakat diingatkan supaya lebih berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan modus operandi penipuan sebegini,
Menurut Bendahari UPSI, En. Mohamad Najib Mohamed dalam ucapan perasmiannya, ramai rakyat Malaysia termasuklah dalam kalangan kakitangan UPSI yang sudah menjadi mangsa kes penipuan melibatkan sendikit scammer sehingga menimbulkan tanda tanya sampai bilakah isu ini menemui noktah.
“Bersempena dengan sambutan Hari Malaysia bertemakan ‘Jiwa Merdeka’ pihak penganjur bawakan khas segmen perkongsian ini agar seluruh warga UPSI sedar dan mengambil cakna akan jenayah scammer yang berlaku di sekeliling kita.
“Menerusi segmen perkongsian tersebut juga mampu memberi kesedaran kepada kita agar tidak tergolong dalam menjadi mangsa penjenayah scammer serta membebaskan diri kita dari ditipu dan dijajah oleh scammer yang bijak melaksanakan propaganda mereka,” ujar beliau.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Prof Dr. Abdul Rahim Razalli berkata, perhimpunan bulanan kali ini turut diadakan Pameran Kesedaran Keterhutanan Serius dan Bahaya Scammer dengan kerjasama pelbagai agensi seperti Bank Muamalat Malaysia Berhad, RHB Bank dan rakan strategik UPSI yang lain.
Jelasnya, keterhutangan atau terjebak dalam hutang yang tidak terkawal, kini menjadi masalah yang semakin serius dalam masyarakat.
“Keadaan ini bukan sahaja memberi tekanan kewangan, malah turut menjejaskan kehidupan seharian, menyebabkan gangguan emosi dan meruntuhkan keharmonian keluarga.
“Menguruskan kewangan peribadi dengan berhemat adalah satu tanggungjawab penting, namun banyak individu yang kurang sedar akan bahaya terjebak dalam kitaran hutang yang tidak berkesudahan,” ujar beliau.
Pada majlis yang sama, beliau turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang bagi pertandingan video pendek dan photoshoot Hari Merdeka sempena Hari Malaysia.
Dalam pada itu, pelajar dari Fakulti Bahasa dan Komunikasi, UPSI, Elvienie Petrus turut hadir bagi mendeklemasikan sajak yang bertajuk ‘Hari Malaysia’.
Perhimpunan Bulanan Edisi September 2024 dianjurkan oleh Jabatan Bendahari dengan kerjasama Unit Integriti.