Ipoh, 25 September 2024 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Mohd Muslim dan Muhammad Hamidi, telah berjaya meraih Anugerah Penyelidik Terulung dalam Persidangan Antarabangsa Penyelidikan yang berlangsung dari 23 hingga 25 September 2024 di Hotel Casuarina, Ipoh. Pencapaian ini bukan sahaja mengangkat nama mereka sebagai saintis, tetapi turut mengharumkan nama UPSI di peringkat antarabangsa.


Kajian mereka yang bertajuk “Revolusi Pendidikan: Integrasi AI dalam Andragogi dan Pedagogi Universiti Awam” mengetengahkan peranan kecerdasan buatan (AI) dalam memperkasa amalan pengajaran dan pembelajaran di universiti awam. Penyelidikan ini memberi tumpuan kepada cara AI dapat membantu mempertingkatkan pengalaman pembelajaran pelajar dewasa (andragogi) serta pedagogi dalam kalangan pensyarah universiti, dengan fokus kepada penggunaan teknologi untuk mendepani cabaran masa hadapan.


Mohd Muslim dan Hamidi mendapati bahawa integrasi AI dalam sistem pendidikan bukan sahaja berupaya memperkasakan keberkesanan pengajaran, malah membantu meningkatkan keterlibatan pelajar dalam pembelajaran interaktif. Kajian mereka telah menarik perhatian komuniti akademik dan profesional pendidikan antarabangsa, sekali gus diiktiraf sebagai kajian yang paling inovatif dalam persidangan tersebut.


“Kami sangat terharu dengan anugerah ini. Ia mengiktiraf usaha kami dalam meneroka potensi AI untuk membentuk masa depan pendidikan yang lebih dinamik dan relevan,” kata Muhammad Hamidi selepas majlis penyampaian anugerah.


Mohd Muslim, turut berkongsi rasa bangga dengan pencapaian ini. “Integrasi AI dalam pendidikan merupakan langkah penting ke arah mencipta sistem pembelajaran yang lebih berkesan dan sesuai dengan keperluan semasa. Pencapaian ini adalah bukti bahawa inovasi dalam pendidikan mampu memberi impak besar kepada generasi akan datang.”


Persidangan ini menghimpunkan lebih ramai penyelidik, pendidik, dan ahli akademik dari seluruh dunia untuk berkongsi penemuan dan amalan terbaik dalam bidang pendidikan. Pengiktirafan ini sekali lagi membuktikan bahawa UPSI terus melahirkan saintis dan penyelidik yang cemerlang di peringkat global, seterusnya memperkukuh kedudukan universiti tersebut sebagai institusi pendidikan unggul.