Oleh: Muhammad Shahir Suhaini dan Dr. Hamidah Idris

Tanjung Malim ,15 Oktober 2024 – Program Hello Microbes™ 8.3: Microbes Around Us telah berlangsung dengan jayanya anjuran Jabatan Biologi, Fakulti Sains dan Matematik Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama Malaysia Society for Microbiology (MSM), PBL@UPSI, Omic Bar Sdn. Bhd. dan Sekolah Rendah Islam Al Amin Keramat yang bertempat di Fakulti Sains dan Matematik, UPSI.

Program ini melibatkan murid Tahun 6 yang terdiri daripada 3 kelas dan melibatkan seramai 60 peserta lelaki dan 51 peserta perempuan serta diiringi 10 orang guru pembimbing dan ibu bapa.

Pasukan Hello Microbes™ 8.3: Microbes Around Us bersama tenaga pengajar

Program ini dijalankan dengan tujuan utama untuk memberikan sokongan akademik melalui eksperimen dan aktiviti hands on topik Mikroorganisma subjek Sains Darjah 6 yang sbelum ini hanya dipelajari secara teori berdasarkan buku teks.

Aktiviti yang dijalankan juga merungkai konsep sains dalam senario kehidupan sebenar dan berkongsi maklumat dalam bidang mikrobiologi melalui pendekatan pembelajaran berasaskan projek (PBL), menggunakan kerangka yang dibangunkan melalui Program Pensijilan Profesional 2023 di PennPBL Institute, Graduate School of Education, University of Pennsylvania, USA.

Pelaksanaan program melibatkan seramai 23 orang pelajar UPSI sebagai fasilitator program. Bagi memberikan pengalaman pembelajaran bermakna dan kesinambungan aktiviti, program ini mengaplikasikan strategi pembelajaran berasaskan penerokaan menggunakan Foldscope dengan kerjasama Omics Bar Sdn. Bhd. sebagai rakan industri Hello Microbes.

Pembelajaran topik mikroorganisma dan sifat rasa ingin tahu yang terdapat dalam kalangan pelajar-pelajar Tahun 6 Sekolah Rendah Islam Al Amin Keramat tentang dunia mikrob dan input daripada fasilitator yang terlatih dalam bidang mikrobiologi menjadi asas kepada pengisian dan aktiviti dalam Program Hello Microbes™ 8.3: Microbes Around Us.

Murid Sekolah Rendah Islam Al-Amin Keramat membentangkan  hasil aktiviti Program Hello Microbes™ 8.3: Microbes Around Us

Pelbagai aktiviti menarik yang menekankan aplikasi dunia mikrob dalam kehidupan sebenar melalui pendekatan alat bantu mengajar sesuai untuk peserta telah dijalankan sepanjang program, antaranya aktiviti Touch of Life menggunakan foldscope, aktiviti Microbial Observation dan lawatan ke Muzium Zoologi UPSI.

Guru Sains Sekolah Rendah Islam Al Amin Keramat, Puan Nuradilah Muhammad, menyatakan “Aktiviti yang dijalankan dalam Program Hello Microbes ini membantu pelajar Darjah 6 menguasai topik mikroorganisma melalui aktiviti hands on selain memberikan mereka pengalaman berada di persekitaran universiti di UPSI”.

Maklum balas positif juga diterima daripada tenaga pengajar, ibu bapa dan murid sekolah rendah yang menunjukkan impak program.

Peserta turut menyatakan keterujaan dalam mengenali bidang mikrobiologi buat kali pertama serta berpuas hati dengan bahan aktiviti menarik dan penerangan dari pasukan Hello Microbes™.

Kejayaan Program Hello Microbes™ 8.3: Microbes Around Us telah menarik minat pihak Sekolah Rendah Islam Al Amin Keramat untuk meneruskan kerjasama di masa akan datang dengan menambahkan lagi aktiviti dan bidang yang terdapat di UPSI.

Diharapkan agar program seperti ini dapat menyumbang kepada pembangunan generasi celik ilmu dan membuka peluang yang lebih luas untuk kerjasama dengan pelbagai pihak di masa akan datang.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)