Oleh: Siti Suriati Zakaria
Tanjung Malim, 15 Oktober 2024 – Program Tautan Mesra Felo Bersama Penghuni Blok 3 bawah anjuran Ahli Jawantankuasa Blok Kediaman 3, Kolej Harun Aminurrashid sidang 2024/2025, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berlangsung dengan jayanya dengan kehadiran penghuni seramai hampir 400 orang penghuni blok.
Program ini dilaksanakan untuk memperkenalkan Felo Blok Kediaman 3, iaitu Puan Norrulkamari Daud kepada semua penghuni blok 3 yang lebih dikenali Blok Sakura sekaligus untuk mengeratkan hubungan silaturrahim antara felo dan para penghuni Sakura.
Melalui taklimat ringkas oleh felo iaitu menekankan kepada beberapa peraturan penting kepada penghuni kolej seperti aspek keselamatan, kebersihan, sikap, adab dan hidup bermasyarakat di kolej kediaman.
Beliau juga mengadakan sesi soal jawab bersama penghuni bagi mengetahui sejauh mana pengetahuan penghuni tentang peraturan yang perlu dipatuhi oleh mereka sepanjang di kolej.
“Menghargai apa yang ada, Jangan mencari apa yang tiada”, itulah ungkapan yang diberikan oleh Felo Sakura kepada penghuni yang hadir agar mereka lebih bersyukur dan berterima kasih kepada pihak universiti dalam menyediakan penginapan dan kemudahan yang baik kepada pelajar UPSI.

Selain itu, barisan Ahli Jawatankuasa Blok Kediaman 3 Sakura sidang 2024/2025 turut diperkenalkan oleh Nurin Rozaini Azreen selaku Ketua Blok Sakura bagi sidang 2024/2025 semasa program ini berlangsung.
Tujuan barisan ahli jawatankuasa ini diperkenalkan adalah untuk memudahkan penghuni mengenali dan berhubung dengan ahli jawatankuasa blok sekiranya terdapat sebarang permasalahan atau keperluan yang berkaitan dengan blok kediaman.


Pengetua Kolej Harun Aminurrashid, Dr. Haji Che Anuar Che Abdullah turut berkelapangan menghadiri program Tautan Mesra Felo Bersama penghuni Sakura pada hari tersebut.
Beliau telah menyampaikan beberapa amanah dan harapan kepada penghuni serta turut menceritakan beberapa kes salah laku pelajar yang sering berlaku di kolej kediaman yang sememangnya tidak patut diulangi dan dilakukan oleh penghuni Sakura.
Di samping itu, beliau juga turut memberi galakan kepada penghuni untuk menyertai program-program yang dianjurkan oleh pihak kolej sebagai menyokong aktiviti pelajar dalam mencapai kemenjadian mahasiswa/i universiti.

Program pada malam tersebut turut diceriakan lagi dengan pelbagai persembahan menarik daripada penghuni Sakura seperti tarian moden, tarian K-Pop, puisi dan nyanyian.
Sebahagian persembahan pada malam tersebut dipersembahkan oleh pelajar ambilan baru 2024/2025 di samping dapat mencari bakat baharu di Kolej Harun Aminurrashid.
Program seterusnya diteruskan dengan acara cabutan bertuah kepada penghuni yang disampaikan oleh Felo Sakura. Pelbagai hadiah menarik telah disediakan dan seramai 20 orang penghuni berjaya memenangi cabutan bertuah yang dijalankan.

Program diakhiri dengan sesi fotografi Bersama semua penghuni yang hadir dan juga barisan AJK PBlok Sakura, tidak lupa juga sedikit rakaman trending TikTok oleh penghuni dan barisan Ahli Jawatankuasa.
Kehadiran dan kerjasama semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini menunjukkan bahawa hubungan silaturrahim boleh dieratkan dengan keterlibatan para penghuni melalui program yang dilaksanakan khususnya apabila melibatkan penghuni yang kepelbagaian bangsa dan kaum.