Oleh: Anizan Abd Latif
Tanjong Malim, 18 Oktober 2024 – Universiti Pendidikan Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menyambut baik hasrat kerajaan negeri Sarawak untuk menjalinkan kerjasama dalam meningkatkan kecemerlangan dalam bidang Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di Sarawak.
Kunjungan hormat Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat 1 (MEITD), Datuk Dr. Hj. Annuar Rapaee ke UPSI pada hari ini membuka lebaran baru kepada UPSI untuk menyediakan platform dan usahasama akademik untuk meningkatkan profesionalisme guru-guru Sarawak.

Ketibaan YB Timbalan Menteri disambut oleh ahli pengurusan tertinggi UPSI dan sesi perbincangan telah dipengerusikan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPSI, Prof. Dr. Suriani Abu Bakar.
“UPSI amat mengalu-alukan kunjungan ini dan bersediakan menawarkan program dan kursus yang bersesuaian dengan keperluan dan hasrat MEITD, terutamanya dalam bidang STEM,” kata beliau.
Dalam pada itu, pihak MEITD juga berhasrat untuk menyediakan peluang dan biasiswa bagi membuka peluang kepada guru-guru di Sarawak melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah dalam pelbagai bidang.
UPSI menjadi pilihan untuk program kerjasama strategik ini dengan menawarkan 95 program di peringkat pasca siswazah.
Dalam perbincangan tersebut, Datuk Dr. Haji Annuar Rapaee memberitahu hampir 40 peratus guru-guru Sarawak yang mengajar subjek Matematik dan Sains adalah bukan opsyen.
“Kami berharap dapat membuka lebih banyak peluang kepada guru tempatan untuk menyambung pengajian dalam bidang pendidikan.
“Ini bukan sahaja akan membawa manfaat kepada para guru sekaligus meningkatkan kecemerlangan Pendidikan terutama bagi seluruh rakyat Sarawak” katanya.

Selain itu, perbincangan turut menyentuh mengenai usaha untuk menambahkan pengetahuan dan kemahiran, terutamanya dalam mempelbagaikan strategi pengajaran dan pembelajaran agar selari dengan keperluan kini, termasuk projek Yayasan Hasanah yang sedang diterajui oleh UPSI.
Kunjungan ini melebarkan sayap UPSI dalam usaha memperluas program pengajian siswazah sekaligus mengukuhkan kedudukan UPSI sebagai Universiti Pendidikan di Malaysia.
Dengan adanya kerjasama strategik seperti ini, diharapkan lebih ramai guru tempatan yang berminat untuk menyambung pengajian ke peringkat sarjana seterusnya kedoktoran dan melahirkan guru yang berkemahiran tinggi, berintegriti dan berdaya saing dalam bidang pendidikan.