Oleh: Nurul Wahidah Zaizi
Tanjong Malim, 11 Oktober 2024 – Dalam memupuk kesedaran dan tanggungjawab para pelajar terhadap kelestarian alam sekitar di peringkat universiti, Kelab Rakan Alam Sekitar (RAS) dengan kerjasama Fakulti Sains dan Matematik (FSM) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bersama kelab kolaborasi iaitu Persatuan Gerakan Pengguna Siswa (GPS), Persatuan Sekretariat Permuafakatan Siswa/siswi Felda (PERSADA), Persatuan Sekretariat Rukun Negara (SRN) dan Kelab Bahasa Jepun (KBJ) menganjurkan program MIST’24 Ecowarriors Street bersempena dengan Muallim International Science, Technology, Innovation, Mathematics, and Sustainable Fiesta 2024 (MIST’24). Program ini menggabungkan elemen jualan barangan terpakai dan pelbagai aktiviti permainan menarik yang berkonsepkan alam sekitar. Program ini telah berjaya mendapat sambutan daripada pelajar universiti.
Program ini telah dirasmikan oleh Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni FSM, Dr. Mohd Ikhwan Hadi Yaacob bersama Penasihat Kelab RAS, Prof. Madya Ts. Dr Nurul Bahiyah Abd Wahid. Dalam ucapan Dr. Mohd Ikhwan, beliau menekankan betapa pentingnya peranan mahasiswa dan mahasiswi dalam menerapkan nilai-nilai kelestarian dalam kehidupan harian, selain menyokong inisiatif-inisiatif yang dapat mengurangkan kesan terhadap alam sekitar. Tambahan lagi, Penasihat Kelab RAS turut menyatakan bahawa program keusahawanan mesra alam ini merupakan salah satu usaha terbaik untuk mengurangkan kesan negatif terhadap alam sekitar dengan menggabungkan inovasi perniagaan dengan amalan yang lestari. Turut hadir, Prof. Madya Dr. Saripah Salbiah Syed Abdul Aziz dan Prof. Madya Dr. Hashimah Alimon.

Salah satu jualan produk mesra alam yang dijual oleh para pelajar di Eco Bear Booth adalah menjual soft toys bundle yang telah dicuci, dibersihkan dan diperbaiki terlebih dahulu bagi menjamin kualiti, kebersihan, nilai ekonomi, dan kelestarian bagi menawarkan pilihan yang lebih baik kepada semua pembeli. Melalui jualan terpakai ini dapat membantu mengurangkan penggunaan sumber semula jadi dan pencemaran alam yang boleh berlaku disebabkan oleh proses pembuatan produk baharu. Pelbagai aktiviti jualan lain turut diadakan di Eco Fashion Booth dan Eco Foodies Booth.
Program ini dimeriahkan lagi dengan pelbagai aktiviti permainan inovatif bertemakan alam sekitar telah diadakan di Eco Fun-Delight Booth. Antara permainan yang paling menarik perhatian ialah permainan Bowling Kelapa, di mana pelajar dikehendaki menggulingkan kelapa ke arah botol air terpakai. Permainan ini menggabungkan konsep permainan bowling moden dengan elemen tempatan, di mana bola bowling digantikan dengan buah kelapa dan pin bowling digantikan dengan botol air terpakai. Permainan ini bukan sahaja menyeronokkan, malah mengajar pelajar tentang kepentingan menjaga kelestarian alam sekitar. Selain itu, terdapat juga permainan mesra alam lain yang dijalankan seperti Bottle Flip TicTacToe, Guess What’s in the Box?, Cup Pingpong dan Emoji Riddle. Pendekatan ini bukan sahaja menggalakkan penggunaan semula bahan, tetapi juga memberikan pengalaman yang menyeronokkan.


MIST’24 Ecowarriors Street bukan sahaja berjaya menggalakkan kesedaran dalam kalangan mahasiswa dan mahasiswi malah turut membuka ruang kepada mereka untuk bersama-sama bertindak sebagai pencinta alam melalui tindakan-tindakan kecil tetapi bermakna. Program keusahawanan mesra alam seperti ini bukan sahaja memberi manfaat kepada pelajar dari segi pembelajaran akademik dan kemahiran praktikal malah dapat membantu pelajar membantu negara mencapai pertumbuhan ekonomi tanpa menjejaskan kesejahteraan alam sekitar demi masa depan yang lestari. Dengan sokongan padu dari FSMT, program ini memperlihatkan komitmen UPSI dalam memartabatkan usaha kelestarian di peringkat institusi dan global.
