Tanjong Malim, 11 Oktober 2024 – Bagi melahirkan mahasiswa yang berfikiran kreatif dan inovatif terhadap alam sekitar, Kelab Rakan Alam Sekitar (RAS) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mengadakan program MIST’24 Ecowarriors Discovery Zone bekerjasama dengan Pusat Konservasi Hidupan Liar Sungkai dan Fakulti Sains dan Matematik (FSM).
Melalui program yang berkonsepkan bengkel ini, pelajar dapat menimba ilmu pengetahuan dalam menggunakan barangan kitar semula menjadi barang baru yang mempunyai harga dan nilai tersendiri. Setiap mahasiswa/i dilengkapi dengan ilmu pengetahuan yang mengajar mereka berkaitan amalan 3R (Reduce, Reuse & Recycle) sebagai satu inisiatif untuk mengurangkan sisa bahan buangan disamping dapat menyelamatkan bumi pada masa yang akan datang.
Bengkel sabun daripada minyak terpakai merupakan salah satu inisiatif yang inovatif dimana penghasilan sabun daripada bahan terpakai ini bukan sahaja mendatangkan kebaikan kepada alam sekitar, malah turut bermanfaat dari segi ekonomi dalam penjimatan kos menggunakan sumber alam baru yang lain. Ia melibatkan proses kitar semula minyak masak terpakai, yang biasanya dibuang selepas digunakan, menjadi sabun buatan tangan yang mesra alam.
Pelajar juga berpeluang mempelajari lipatan origami daripada kertas warna terbuang. Dengan menggunakan kertas terbuang untuk origami, pelajar dapat mengelakkan pembaziran kertas dan membantu mengurangkan jumlah sisa yang dibuang ke tapak pelupusan sampah dengan menghasilkan sesuatu kreativiti yang menarik untuk dijadikan perhiasan. Bengkel ini adalah satu bentuk kitar semula yang mudah dilakukan dalam kalangan pelajar dan berimpak besar jika diamalkan secara meluas.
Seterusnya, pelajar dapat mencipta karya seni menggunakan teknik fluid painting (lukisan cecair) yang melibatkan teknik mencampurkan cat yang dicairkan dan menuangkannya ke atas permukaan beruang, menghasilkan corak yang menarik dan sukar dijangka. Teknik ini memberikan kebebasan kepada peserta untuk bereksperimen dengan warna, bentuk, dan aliran. Setiap ciptaan unik dan hasil yang sukar dijangka telah membuka ruang kepada pelajar untuk berkreativiti tanpa batasan.
Selain itu, satu forum daripada wakil daripada Pusat Konservasi Hidupan Liar Sungkai, Cosmas Ngau dianjurkan pada sebelah petang bagi mengupas mengenai isu berkenaan hidupan liar turut menjadi wadah dalam membuka minda para peserta dengan isu sensitif hidupan liar kini. Pengetahuan yang diberikan sedikit sebanyak dapat memberikan kesedaran dan akan diamalkan oleh mahasiswa mahasiwi pada masa akan datang. Tuntasnya, program ini berkomitmen untuk menyediakan platform yang dinamik bagi pelajar di UPSI yang bertujuan untuk memperkasa kemahiran dan kebolehan mereka dalam menerapkan idea-idea kreatif terhadap bahan kitar semula serta pengetahuan yang cemerlang dalam perkara melibatkan alam sekitar.