Oleh: Intan Farahana Abdul Rani

TANJUNG MALIM, 3 Disember 2024 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sekali lagi menunjukkan komitmennya dalam melindungi generasi muda dengan menganjurkan webinar bertajuk “Keselamatan Digital: Melindungi Kanak-Kanak di Dunia Siber”, yang diadakan sempena Sambutan Hari Kanak-kanak Sedunia 2024. Disiarkan secara langsung melalui Facebook NCDRC UPSI, acara ini menarik perhatian ratusan penonton dari pelbagai latar belakang.

Webinar ini menampilkan tiga panelis pakar yang berkongsi pandangan dan strategi praktikal bagi memastikan keselamatan kanak-kanak dalam dunia digital iaitu Insp. Nor’Fazlina Ghazali, Pegawai Siasatan (Perundangan) dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, IPD Muallim yang mengupas berkenaan ancaman jenayah siber dan kepentingan kawalan ibu bapa.

Manakala perkongsian oleh Penolong Pegawai Pembangunan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Muhamad Fairul Badry membincangkan peranan intervensi sosial dalam menangani risiko eksploitasi digital.

Dr. Harnani Mat Zin, Penyelaras Sistem Data & IT dari Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-kanak Negara (NCDRC) UPSI memberikan panduan mendidik anak-anak menjadi pengguna teknologi yang bertanggungjawab.

Webinar ini dikendalikan dengan cemerlang oleh pensyarah dari Fakulti Pembangunan Manusia (FPM), Mohd Wafiy Akmal Ahmad Khadri.

Menariknya, webinar ini juga memperkukuh kedudukan NCDRC sebagai peneraju dalam pembangunan kanak-kanak di era digital. NCDRC kini turut bekerjasama dengan Sekretariat Kerajaan Negeri Perak (SUK Perak) dan Pejabat YB Dato’ Salbiah binti Mohamed untuk melaksanakan Program Keibubapaan Digital bertemakan ‘Cakna Digital: Ibubapa Bijak, Anak Selamat’.

Program ini menawarkan panduan eksklusif secara percuma kepada ibu bapa, termasuk cara memantau penggunaan teknologi anak-anak, membentuk tabiat digital yang sihat, dan menyediakan sokongan menyeluruh dalam mendidik anak-anak untuk menjadi pengguna teknologi yang bijak dan bertanggungjawab.

“Program seperti ini sangat penting untuk mendidik masyarakat, terutamanya ibu bapa, tentang bagaimana untuk melindungi kanak-kanak daripada ancaman dunia digital sambil memanfaatkan teknologi secara positif,” kata Prof Madya Dr. Mazlina Mustafa, Pengarah NCDRC.

Webinar ini menjadi platform utama untuk meningkatkan kesedaran mengenai isu seperti buli siber, eksploitasi data peribadi, dan risiko penggunaan gajet tanpa kawalan. Menurut Insp. Nor’Fazlina, “Ibu bapa harus menjadi pelindung pertama dengan mendidik anak-anak dan mengambil langkah proaktif seperti memantau aktiviti dalam talian mereka.”

Sementara itu, Dr. Harnani menegaskan pentingnya pendidikan digital bermula dari rumah. “Anak-anak perlu dilengkapi dengan kemahiran mengenali risiko dunia maya dan diajar untuk menjadi pengguna teknologi yang bertanggungjawab,” ujarnya.

“Keselamatan digital adalah langkah pertama ke arah melindungi masa depan anak-anak kita. Marilah kita dengar dan penuhi keperluan mereka, kerana mereka adalah harapan masa depan,” tambah beliau lagi.

Dengan webinar ini dan pelancaran Program Keibubapaan Digital, NCDRC dan UPSI membuktikan komitmen mereka untuk menyokong pembangunan kanak-kanak secara holistik di era teknologi. Inisiatif ini menyeru semua pihak untuk bersama-sama memastikan dunia digital menjadi tempat yang selamat dan bermanfaat untuk generasi muda.

Acara ini bukan sahaja memberikan ilmu tetapi juga mengukuhkan peranan UPSI sebagai institusi pendidikan yang memahami keperluan dunia moden.