Oleh: Mohammad Faiez Iqmal Semi
Kuala Lumpur, 11 Disember 2024- Kelab Pendidikan Demokrasi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah mengadakan Lawatan Akademik ke Parlimen, Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Lawatan akademik ini bertujuan untuk memberi pengetahuan kepada mahasiswa dan mahasiswi berkaitan dengan pentadbiran negara dan politik di Malaysia.
Justeru, perlunya mahasiswa dan mahasiswi diberi pendedahan menggunakan pendekatan “Experience Learning” bagaimana pentadbiran negara dijalankan secara praktik di Malaysia.

Impak-impak yang diperolehi oleh mahasiswa dan mahasiswi dalam lawatan akademik ini antaranya dapat memperkukuh pemahaman mereka tentang peranan seni, kewangan dan sistem perundangan dalam pembangunan negara, memberi peluang kepada mereka untuk memahami fungsi Bank Negara dan Parlimen Malaysia dalam kestabilan ekonomi dan demokrasi serta menyemai perasaan cinta terhadap warisan budaya dan sistem perundangan.
Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia menawarkan enam galeri tetap dengan pelbagai tema iaitu: Galeri Kanak-kanak, Galeri Bank Negara Malaysia, Galeri Ekonomi, Galeri Kewangan Islam, Galeri Numismatik dan Galeri Seni.

Galeri-galeri ini menyelami ekonomi Malaysia, peranan Bank Negara Malaysia di dalam pembangunan ekonomi serta landskap kewangan negara sejak zaman pra-kemerdekaan sehingga kini.
Seiring dengan peranan Bank Negara Malaysia sebagai penaung warisan numismatik dan pendukung warisan seni Malaysia, muzium ini menampilkan koleksi khazanah numismatik yang seusia sejarah negara serta koleksi karya-karya seni yang dinamik dari Malaysia dan rantau ASEAN.

Sepanjang sesi lawatan di Parlimen Malaysia, rombongan peserta telah dibantu dan dibimbing oleh Penolong Pegawai Penerangan Parlimen, Cik Wan Nafis Aiman Wan Raselan, yang bertanggungjawab memberikan penerangan mengenai fungsi, peranan dan kemudahan-kemudahan yang ada di institusi Parlimen Malaysia.
Selain itu, rombongan peserta juga berpeluang untuk menyaksikan persidangan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara secara langsung yang membahaskan tentang Rang Undang-Undang (RUU) dan urusan kerajaan lain.
Persidangan pada hari tersebut hari kedua terakhir sebelum Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 menutup tirainya selepas 35 hari bersidang.
Rombongan peserta juga berpeluang untuk beramah mesra bersama Ahli Dewan Rakyat Jempol, YB Dato’ Haji Shamshulkahar Mohd Deli yang juga merupakan mantan anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan (EXCO) bagi portfolio Pendidikan dan Kesihatan serta mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serting, Negeri Sembilan.
Sepanjang pertemuan bersama YB Jempol, rombongan peserta berpeluang untuk menanyakan beberapa soalan mengenai isu-isu semasa yang berlaku di Malaysia dan sedang dibahaskan di Dewan Rakyat.

Selain soal jawab, YB Jempol juga turut menceritakan pengalaman luas beliau dalam bidang politik dan turut menceritakan bahawa beliau juga merupakan seorang mantan guru di sebuah sekolah menengah kebangsaan di Negeri Sembilan selama 11 tahun sebelum bergiat aktif dalam dunia politik.
Akhir sekali, lawatan akademik ke Parlimen, Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia ini merupakan satu pengalaman yang sangat berharga dan bermakna.
Ia memberikan peluang kepada mahasiswa dan mahasiswi untuk memperkaya pengetahuan mereka mengenai sistem perundangan negara, proses pembuatan dasar serta sejarah kewangan dan seni negara dengan lebih mendalam.
Lawatan ini juga telah membuka ruang untuk peserta memahami peranan- peranan penting yang dimainkan oleh institusi Bank Negara dan Parlimen Malaysia dalam menyokong pembangunan ekonomi dan politik di Malaysia.
Dengan pendedahan ini, para peserta diharapkan dapat memperkukuh kefahaman mereka tentang proses demokrasi, perundangan dan ekonomi negara serta meningkatkan kesedaran mereka terhadap tanggungjawab sebagai warganegara yang prihatin dan berpengetahuan luas.
Selain itu, lawatan ini juga diharapkan dapat mendorong peserta untuk berfikir secara kritikal dan kreatif mengenai cabaran-cabaran yang dihadapi oleh negara dan bagaimana mereka boleh menyumbang kepada kemajuan negara melalui pemikiran yang inovatif dan konstruktif.
