Oleh: Bazli Razak
BOTA, 13 Disember 2024 – Mangsa banjir di Perak terus menerima perhatian daripada ResQ Team Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerusi misi kemanusiaan yang menyalurkan bantuan berupa kotak makanan kepada mereka yang terjejas di beberapa kawasan di negeri ini.
Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff, menyatakan bahawa inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada komitmen universiti untuk mendukung masyarakat, khususnya dalam memberikan bantuan kepada golongan yang memerlukan semasa menghadapi cabaran.
“Kami di ResQ Team UPSI berasa terpanggil untuk turun padang membantu mangsa banjir yang kehilangan banyak harta benda.
“Sumbangan ini mencerminkan keprihatinan kami terhadap penderitaan yang dialami mereka,” ujarnya.
Beliau turut menekankan bahawa UPSI sentiasa menggalakkan pelajar dan kakitangan universiti untuk terlibat secara aktif dalam aktiviti kemasyarakatan, terutamanya ketika menghadapi situasi bencana alam seperti ini.
“Kami percaya bahawa dengan menyemai nilai-nilai kemanusiaan dan kepedulian sosial, universiti dapat memainkan peranan besar dalam membentuk masyarakat yang lebih prihatin dan bertanggungjawab,” ujar beliau.

Sementera itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni9 UPSI, Prof. Dr. Norkhalid Salimin, turut menegaskan bahawa ResQ Team UPSI akan terus memainkan peranan aktif dalam menyokong masyarakat yang terjejas akibat bencana.
“Sebagai organisasi yang berpegang kepada prinsip kemanusiaan, kami komited untuk memastikan bantuan dan sokongan diberikan kepada mereka yang memerlukan sepanjang tempoh sukar ini.
Beliau juga menyatakan bahawa UPSI merancang untuk meluaskan lagi skop bantuan termasuk sokongan psikososial dan khidmat kaunseling kepada mangsa banjir bagi membantu mereka pulih secara emosi dan mental.
“Keprihatinan ini bukan hanya terhenti setakat bantuan fizikal. Kami mahu memastikan mangsa-mangsa ini dapat bangkit semula dengan semangat yang lebih kuat selepas melalui ujian berat ini.
“Usaha berterusan ini jelas menunjukkan kesungguhan UPSI dalam membantu mangsa banjir serta mengekalkan semangat perpaduan dan solidariti antara universiti dan masyarakat,” tambah beliau.

Timbalan Pengarah, Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), Prof. Madya Dr. Muhammad Aqil Aryan Wong, memaklumkan bahawa sebanyak 50 kotak makanan telah diserahkan kepada mangsa di dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS), iaitu Sekolah Teluk Kepayang, Bota, dan Dewan Serbaguna Tanjung Tualang, Kinta.
PPS berkenaan menempatkan seramai 11 buah keluarga dan 39 buah keluarga masing-masing.
“Bantuan yang disalurkan ini merangkumi keperluan asas seperti beras, gula, tepung, dan pelbagai barangan makanan lain.
“Diharapkan sumbangan ini dapat membantu meringankan beban mangsa sepanjang tempoh pemulihan pasca banjir.
Beliau turut menambah bahawa pihak universiti sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dan badan bukan kerajaan (NGO) bagi memastikan bantuan disampaikan dengan efisien dan tepat kepada mereka yang memerlukan.
“Ini bukan sekadar misi menghantar bantuan, tetapi juga satu usaha untuk menunjukkan solidariti dan sokongan moral kepada mangsa banjir.
“Kami berharap kehadiran ResQ Team UPSI dapat memberi sedikit kelegaan kepada mereka yang terkesan,” katanya.
