Oleh : Nur Ain Syahirah

Tanjong Malim, 12 Disember 2024- Umum mengetahui bahawa, bidang kewangan merupakan bidang yang luas kerana merangkumi pelbagai cabang antaranya ialah pelaburan, pengurusan wasiat, pengurusan risiko, dan perancangan kewangan. Kesedaran tentang bidang ini perlu dititikberatkan kepada semua mahasiswa dan mahasiswi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) supaya mereka tahu tentang kewujudannya.

Financial Planning Club menjemput Pengarah Projek di VKA Wealth Planner, Angela Chee sebagai penceramah program Is Finance Your Future Career?. Beliau berkongsi pengalaman dan perjalanan kerjaya sepanjang karier sebagai seorang perancang kewangan.

Program ini dihadiri lebih 50 orang pelajar yang bertujuan untuk memahami potensi dan peluang pekerjaan yang terdapat dalam sektor kewangan. Program ini juga membantu pelajar mengenal pasti minat dan kekuatan peribadi mereka sejajar dengan kerjaya kewangan serta memberikan panduan tentang pendidikan dan pensijilan yang diperlukan. Dengan pendedahan kepada pengetahuan kewangan asas, program ini membantu meningkatkan literasi kewangan peserta yang bukan sahaja bermanfaat untuk kerjaya tetapi juga pengurusan kewangan peribadi. Literasi kewangan adalah penting bagi kesejahteraan ekonomi individu dan masyarakat.

Program ini turut memberikan panduan untuk membantu para pelajar membuat keputusan yang lebih berinformasi dan terarah serta menyediakan perancangan kewangan dalam jangka masa panjang.

Pengarah program turut berpendapat bahawa, para peserta dapat mempersiapkan diri dalam karier ini kerana mereka dapat mengetahui sama ada mereka mempunyai potensi dalam bidang ini atau sebaliknya. Program ini adalah sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) seperti Pendidikan Berkualiti (SDG 4), Pekerjaan Sesuai dan Pembangunan Ekonomi (SDG 8) serta Ketidaksamaan Yang Kurang (SDG 10). Program ini telah berjaya mencapai dan menepati semua matlamat tersebut melalui perkongsian daripada Puan Angela tentang perjalanannya mencapai kariernya termasuklah kelulusan yang diperlukan.