Oleh: Sharwesuwary A/P Kumaraval

Tanjong Malim, 11 Disember 2024- Fakulti Pengurusan dan Ekonomi (FPE) dengan kerjasama UPSI Accounting Society (UPSIAS) , Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menganjurkan Program Career Booth 2.0: Internship Junction- Your Launchpad to Success. Program ini telah berlangsung bertempat di bilik kuliah 03 dan Rooftop, Blok 10, FPE.

Program ini dimulakan dengan ceramah eksklusif daripada MyFutureJobs di DKP 3. Ceramah tersebut memperkenalkan pelajar kepada apa itu MyFutureJobs, cara membuka akaun di platform tersebut, serta manfaat-manfaat yang boleh diperoleh seperti akses kepada peluang pekerjaan, bantuan kerjaya, dan pelbagai panduan untuk meningkatkan kebolehpasaran. Sesi ini memberikan pelajar gambaran yang jelas tentang bagaimana MyFutureJobs boleh menjadi alat penting dalam membina kerjaya masa depan mereka.

Acara diteruskan dengan pameran yang berlangsung di Rooftop, Blok 10. Career Booth 2.0 adalah sebuah inisiatif inovatif yang bertujuan mempertemukan pelajar dengan pelbagai syarikat dan agensi ternama seperti MY FUTURE JOB, TYMBA danBDO. Program ini bukan sahaja membuka peluang kepada pelajar FPE untuk mengenali lebih dekat syarikat-syarikat yang menawarkan peluang latihan industri, tetapi juga menyediakan platform bagi mereka untuk memahami apa yang diharapkan sebagai seorang pelatih industri.

Melalui interaksi secara langsung dengan wakil syarikat, pelajar dapat memperolehi maklumat penting tentang cara menyumbang kepada organisasi dan membangunkan diri mereka sebagai calon pekerja yang berpotensi. Tambahan pula, program ini turut membantu pelajar merancang lebih awal persediaan mereka untuk sesi temu duga. Penekanan turut diberikan kepada etika temu duga yang betul, yang mana aspek ini sering menjadi faktor utama untuk memberikan kesan positif kepada bakal majikan.

Career Booth 2.0 telah menunjukkan keberkesanannya sebagai medium untuk memperkasakan pelajar, dan diharapkan program seperti ini akan terus diadakan untuk memberi manfaat kepada generasi akan datang. Tahniah kepada semua pihak yang menjayakan program ini!