Oleh: Nushi Tazul Rahim

Tanjong Malim, 14 Disember 2024- Kepimpinan perlu ditonjolkan dengan cara yang terbaik dalam kalangan anak muda sangat penting pada masa ini terutamanya kepada kalangan mahasiswa universiti seperti di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Bertemakan “Meneraju Kepimpinan Masa Hadapan”, Fakulti Pengurusan dan Ekonomi (FPE) mengadakan Pertandingan Pidato Piala FPE yang disokong oleh Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni FPE, Dr. Khalizul Khalid dalam menjayakan program ini bersempena program Hari Terbuka Fakulti.

Peserta untuk program ini seramai 6 orang iaitu terdiri dalam kalangan pelajar FPE, bertujuan untuk meningkatkan kesedaran kepada mahasiswa UPSI bahawa bersaing secara sihat sebelum memperoleh kejayaan dalam mencapai objektif utama meningkatkan keupayaan dan kebolehan diri pada tahap yang paling tinggi. Program ini juga menampilkan beberapa tajuk pilihan antaranya ialah Pemimpin Masa Hadapan ”Asimilasi Teknologi dan Kemanusiaan, Kepimpinan Inklusif ”Kesejahteraan Negara, Kemakmuran Bangsa” dan Memperkasa Kepimpinan Transformatif dalam Membentuk Pemimpin yang Berdaya Saing.

Ketua Jabatan Pengurusan Perniagaan dan Keusahawanan, Dr. Suzyanty Mohd Shokary sebagai juri jemputan memberi komen positif kepada para peserta kerana memberi seratus peratus komitmen untuk berpidato walaupun berlatih dalam masa yang singkat. Dalam pada masa yang sama, Dr. Ahmad Amri Zainal Adnan selaku penasihat Persatuan Pengurusan Sumber Manusia dan Dr. Nurhanie Mahjom turut memberi ucapan penghargaan kerana bertungkus lumus melaksanakan program dengan jayanya yang yang boleh dikatakan sejajar dengan perkembangan bakat muda terutamanya mahasiswa UPSI dalam mengetahui isu semasa secara holistik dan saksama secara lebih terbuka mencetuskan idea yang bernas.

Sepanjang program ini berlangsung rata-rata peserta berpuas hati dengan pihak penganjur kerana memberikan layanan yang terbaik dari mula sehingga tamat program. Dalam pada itu, majlis dimeriahkan lagi dengan sesi penyampaian yang disampaikan oleh barisan panel juri sejurus tamatnya persembahan daripada kesemua peserta. Kehebatan para peserta memang tidak dapat disangkal lagi, masing-masing menggunakan ayat gramatis yang sangat baik sewaktu mempersembahkan tajuk pidato masing-masing dan keputusan telahpun diumumkan dan Mohamad Johan Mamat dinobatkan sebagai johan dalam Pertandingan Pidato Piala FPE 2024 yang menewaskan pencabar terdekat yang tidak kurang hebatnya iaitu Muhammad FaizMd Fauzi selaku naib johan dan tempat ketiga jatuh kepada Muhammad Ali Abdul Aziz.

Pengarah Program Muhammad Danial Fiqri Sulaiman berkata, platform seperti ini penting sebagai langkah proaktif untuk meningkatkan keyakinan diri seorang mahasiswa dalam melatih diri untuk lebih lantang dan petah bersuara dalam mencetuskan idea sekiranya diberi tanggungjawab untuk menjadi pemimpin pada suatu hari nanti yang bakal dipikul oleh mahasiswa itu sendiri. Dengan adanya pengiktirafan program seperti ini kepada mahasiswa ianya boleh membantu mahasiswa untuk berfikir secara kritis dalam pencetusan idea. Daya usaha ini bukan sahaja menjadikan mahasiswa untuk mempunyai keyakinan diri sahaja tetapi menjadikan mahasiswa itu pemimpin yang berwibawa dalam memastikan komuniti memperolehi manfaat yang sama terutamanya memastikan kebajikan masyarakat dapat dijaga dengan sebaiknya.

Sebagai institusi pendidikan yang berprestasi tinggi, UPSI mempunyai kewajipan untuk membina pendidikan yang kondusif dalam mendorong mahasiswa untuk sentiasa berlumba-lumba untuk menjadi yang terbaik dengan sokongan daripada staf universiti. Program ini menekankan komitmen universiti dalam menggapai satu keputusan yang cemerlang dalam melindungi komuniti iaitu sentiasa berusaha mencetuskan idea baharu dalam mengenal potensi bakat mahasiswa menjadi pemimpin dalam menguruskan sesebuah organisasi yang mampan. Kesedaran dan kepentingan program seperti ini boleh diteruskan lagi kerana ianya salah satu inisiatif untuk memberikan pengalaman yang berharga untuk dijadikan contoh kepada mahasiswa bagaimana wujud dan adanya cara meningkatkan mutu dan kualiti diri dalam mengasah bakat supaya dapat mengendalikan emosi dengan cara yang betul dan efektif.