12 Disember, Tanjong Malim – Persatuan Teknologi Maklumat (PTM) Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi (META) telah mengadakan majlis istimewa yang diberi nama, Citra Rangbulan AT20 2024 bertempat di Dewan Kolej Za’ba, Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI.
Majlis yang penuh bermakna ini dijayakan di bawah pimpinan Sdr. Mohammad Riezman bin Mohd Nasir selaku Pengarah Program. Program ini dianjurkan bertujuan untuk meraikan mahasiswa semester tujuh ISMP Teknologi Maklumat yang bakal mengakhiri pengajian mereka di Universiti Pendidikan Sultan Idris tidak lama lagi. Selain itu, program ini juga bertujuan untuk mengeratkan hubungan di kalangan mahasiswa terlibat dan juga para pensyarah.

Seramai 129 mahasiswa telah hadir ke majlis gilang-gemilang ini yang turut disertai oleh YBrs. Ts. Dr. Nazre Abdul Rashid, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (TDHEPA) yang juga bertindak sebagai perasmi majlis. Selain itu, majlis juga turut dihadiri oleh barisan pensyarah iaitu Prof. Madya Dr. Hafizul Fahri Hanafi, Dr. Marzita Hj Mansor, Puan Hasnatul Nazuha Hassan dan Encik Ahmad Nurzid Rosli.
Majlis dimulakan dengan kata alu-aluan daripada Yang Dipertua PTM Sidang 2024/2025 iaitu Sdr. Muhammad Salihin Supian. Kemudian, majlis diteruskan lagi dengan ucapan perasmian oleh TDHEPA META, Ts. Dr. Nazre Abdul Rashid. Di dalam ucapannya, beliau mengucapkan tahniah kepada PTM atas kejayaan penganjuran majlis dan beliau juga mengucapkan selamat maju jaya kepada mahasiswa semester tujuh yang bakal menjalani latihan mengajar dan latihan industri mereka pada sesi akademik akan datang.

Di samping menikmati hidangan yang disajikan, para tetamu turut ditemani dengan tayangan video korporat PTM sidang 2024/2025. Majlis turut dimeriahkan dengan persembahan nyanyian istimewa daripada Puan Hasnatul Nazuha bersama wakil dari pelajar semester tujuh. Wakil daripada setiap semester juga turut menampilkan bakat mereka pada malam tersebut bagi menambahkan lagi seri majlis yang dijayakan dengan penuh gemilang ini.

