Behrang Ulu, 15 Disember 2024 – Program Celik Digital Madani Orang Asli 2024 yang dianjurkan oleh Persatuan Kujuruteraan Perisian (PKP), Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi (META) telah berjaya diadakan bertempat di Kampung Chinggung, Behrang Ulu, Muallim, Perak. Program ini berlangsung bermula dari jam 8.00 pagi hingga 2.00 petang.

Ucapan Perasmian oleh YBrs. Ts. Dr. Nazre
Tujuan utama program ini adalah untuk memperkenalkan dan melatih komuniti Orang Asli dalam penggunaan teknologi digital, khususnya aplikasi kerajaan yang boleh memudahkan urusan rasmi mereka. Ia bertujuan untuk mengurangkan jurang digital antara komuniti Orang Asli dengan masyarakat umum di samping membina ekosistem digital yang lebih inklusif. Objektif lain termasuklah memberi keyakinan kepada mereka untuk memanfaatkan teknologi bagi meningkatkan kualiti hidup di samping membantu mereka memahami cara mengakses perkhidmatan kerajaan dengan lebih mudah dan efisien.
Majlis perasmian program ini telah disempurnakan oleh YBrs. Ts. Dr. Nazre Bin Abdul Rashid, Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), META. Keberadaan Ts. Dr. Nazre sebagai perasmi menunjukkan komitmen META khasnya dan UPSI umumnya terhadap pembangunan komuniti Orang Asli melalui pendekatan teknologi.
Penglibatan dalam program ini amat memberangsangkan, dengan kehadiran seramai 21 pelajar Kejuruteraan Perisian dari UPSI yang bertindak sebagai fasilitator untuk membantu komuniti Orang Asli. Selain itu, 70 orang peserta Orang Asli telah mengambil bahagian secara aktif dalam pelbagai aktiviti interaktif yang telah dilaksanakan. Bengkel celik digital, tutorial penggunaan aplikasi kerajaan, dan sesi perkongsian pengalaman telah dijalankan dengan jayanya sepanjang program. Semua fasilitator bertindak secara pro-aktif bagi memastikan setiap peserta mendapat manfaat yang maksimum daripada aktiviti yang dilaksanakan.

Fasilitator PKP bersama Ts. Dr. Nazre dan En. Sharif A/L Selasih, Tok Batin Kg. Chinggung
Program ini menjadi satu langkah penting ke arah merealisasikan wawasan Malaysia Madani, di mana teknologi digunakan sebagai alat utama untuk menghubungkan jurang antara komuniti luar bandar dan bandar. Semoga usaha ini menjadi pemangkin kepada transformasi positif, membawa perubahan yang bermakna dalam kehidupan masyarakat Orang Asli, dan membina masa depan yang lebih gemilang untuk mereka.

Fasilitator yang bertugas membantu komuniti orang asli
