Mahasiswa UPSI bersama warga Maahad Tahfiz An-Nabawi, Langkawi
Oleh: Adib Farhan Baharudin & Ummikalsum Mat Lazim
Langkawi, 14 Disember 2024 – Program Quranic Outreach yang dianjurkan oleh mahasiswa Program Ijazah Sarjana Muda Tahfiz al-Quran dan Qiraat di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berjaya dilaksanakan di Maahad Tahfiz An-Nabawi, Langkawi pada 13 hingga 14 Disember lalu. Program ini juga turut mendapat kerjasama Persatuan Tahfiz Qiraat (PTQ) dan Institut Pendidikan Tahfiz dan Turath Islami(IPTTI).
Program turut melibatkan 18 orang mahasiswa dan turut disertai oleh pensyarah Kursus Insan Guru Profesional (KPG3013) merangkap Penasihat Persatuan Tahfiz Qiraat (PTQ),Ummikalsum Mat Lazim. Program ini bertujuan untuk menggalakkan pemahaman lebih mendalam terhadap ajaran al-Quran, di samping mengeratkan hubungan antara komuniti dan mahasiswa dalam satu platform yang memberi impak positif.


Program ini merangkumi beberapa aktiviti utama yang dirancang untuk memberi manfaat kepada peserta dengan menghubungkaitkan ilmu-ilmu al-Quran dalam aktiviti-aktiviti dan pengisian. Antaranya aktiviti Risalah Mahabbah untuk membina keyakinan diri dan kemahiran komunikasi melalui tazkirah ringkas yang mengandungi mesej positif dan ilmu yang bermanfaat.
Selain itu, aktiviti Projek Menara Hamalatul Quran bertujuan untuk memberi kesedaran kepada para huffaz tentang ilmu dan adab yang perlu dikuasai bagi melahirkan seorang huffaz yang bersifat syumuliyyah (menyeluruh). Aktiviti The Q-Code: Rise of the Hamalatul Quran yang berkonsepkan explorace dengan pengisian berbentuk kuiz dan cabaran berasaskan ilmu-ilmu al Quran dan adab sebagai penghafaz al Quran turut diadakan. Aktiviti-aktiviti yang diadakan adalah bagi menarik minat pelajar-pelajar untuk mendalami ilmu pengetahuan khususnya tentang motivasi menghafaz al Quran, adab dan qiraat.
