Kuala Nerus, 12 Disember 2024 – Permainan O-TAMTO berjaya menambat hati juri bagi memperoleh Anugerah Emas di Pertandingan Inovasi dan Idea Perniagaan Antarabangsa 2024 (INOVASI24) yang berlangsung di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu anjuran Fakulti Perniagaan dan Pengurusan. Produk inovasi ini turut menerima Anugerah Khas kerana tergolong dalam senarai 10 produk inovasi terbaik daripada 142 penyertaan dalam kalangan penyelidik di dalam dan di luar negara.

Bertemakan ‘Inovasi Mampan untuk Generasi Seterusnya’, INOVASI24 mencari penyelesaian inovatif, kos efektif dan praktikal yang memupuk idea baharu dalam perniagaan, pengurusan, pengajaran dan pembelajaran. Acara ini adalah berkenaan mencari dan meraikan bakat, menyokong idea peringkat awal dan memudahkan rangkaian inovator yang berdedikasi bagi membentuk masyarakat untuk menjadi lebih baik. INOVASI24 mempamerkan hasil kerja kreatif individu atau pasukan daripada pelbagai sektor termasuk industri, kerajaan, universiti, sekolah dan komuniti dan terbuka kepada semua terutamanya pelajar, usahawan muda, ahli akademik dan profesional teknologi di seluruh dunia. Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mencapai kejayaan di INOVASI24 menerusi produk inovasi miliknya iaitu Permainan O-TAMTO yang dibangunkan oleh pasukan penyelidik UPSI diketuai oleh pensyarah Fakulti Sains dan Matematik, Dr. Zamzana Zamzamir bersama ahli penyelidik lain iaitu Dr. Fainida Rahmat, Najat ‘Aisyah Ab Wahid, Arissa Syaralia Ariff Murzali dan Nur Adlina Aimi Zamri.

Produk inovasi yang telah memperoleh perlindungan hak cipta dengan nombor pendaftaran CRLY2024W02206 ini merupakan hasil Geran Penyelidikan Universiti Berteraskan Pendidikan (Kod: 2022-0164-107-01). Permainan O-TAMTO diiktiraf atas kemampuannya membantu murid Tahap 1 (Tahun 1, Tahun 2 dan Tahun 3) mengukuhkan pemahaman mereka terhadap operasi penambahan dan penolakan melalui kaedah permainan. Diketahui bahawa pembelajaran berasaskan permainan merupakan pendekatan dinamik dan inovatif yang memanfaatkan sifat permainan yang menarik dalam menyampaikan pengetahuan dan kemahiran dengan menggabungkan unsur persaingan, kerjasama dan interaktiviti bagi mencipta pengalaman pembelajaran yang mengasyikkan dan berkesan.  

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPSI, Profesor Dr. Suriani Abu Bakar berkata,  “Kejayaan ini merupakan bukti kesungguhan UPSI untuk terus berada di barisan hadapan dalam mengetengahkan inovasi pendidikan. Ini bukan semata-mata mengharumkan nama UPSI bahkan mengukuhkan kedudukannya di Malaysia sebagai salah satu universiti berteraskan pendidikan.”

Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi (RMIC) UPSI, Profesor Dr. Rosmilah Misnan pula turut berbangga dengan pencapaian ini serta menyokong UPSI untuk terus melangkah maju dalam memperkasakan pendidikan negara di samping membuka peluang kerjasama strategik dengan institusi antarabangsa dalam mengukuhkan pembangunan pendidikan global.

Kejayaan UPSI dalam menerapkan inovasi sebagai budaya di universiti telah memperkukuh motivasi dan komitmen pensyarah untuk terus melangkah maju, menghasilkan penyelidikan yang berimpak tinggi, dan menyumbang kepada pembangunan akademik yang mampan. Inisiatif ini selari dengan matlamat universiti untuk membentuk generasi pendidik yang proaktif dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.

O-TAMTO yang merupakan singkatan kepada Operasi (O) Tambah (TAM) dan Tolak (TO) telah dibangunkan berpandukan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) bagi mata pelajaran Matematik Tahap 1. Dari aspek pengkomersialan, Permainan O-TAMTO sedia sebagai prototaip di TRL 6: Demonstrasi Daya Maju dan maklumat berkaitan produk inovasi ini boleh dicapai di https://youtu.be/gsh1gaBstZY.