Oleh: Afiqah Ibrahim

Banda Aceh, Indonesia, 18 Disember 2024 – Delegasi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang diketuai oleh Majlis Mahasiswa Kolej Harun Aminurrashid (MMKHAR) mengunjungi SD Negeri 29 Banda Aceh dan Lembaga Pendidikan Anak Usia Dini (PAUD) Seulanga Az-Zahra Lamteumen Timur dalam program Beyond Borders: Humanitarian Mission UPSI for Indonesia2024.

Aktiviti yang berlangsung pada 18 Disember 2024 ini bertujuan untuk mendekati murid di Banda Aceh menggunakan konsep pendidikan yang mudah dan menyeronokkan.

Mahasiswa UPSI yang mengikuti delegasi ini telah dipecahkan kepada dua kumpulan di mana satu kumpulan akan menjalankan aktiviti di SD Negeri 29 Banda Aceh manakala satu kumpulan lagi akan bergerak ke PAUD Seulanga Az-Zahra Lamteumen Timur.

Aktiviti yang dilaksanakan bersama Dua kelas murid Tahun 6 di SD Negeri 29 Banda Aceh dimulakan dengan senamrobik lalu diteruskan dengan aktiviti pembelajaran berkaitan Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris mengikut kumpulan.

Ketibaan delegasi UPSI di SD Negeri 29 Banda Aceh

Ketika tiba di SD Negeri 29 Banda Aceh, delegasi UPSI disambut dengan sangat baik di mana mereka disajikan dengan persembahan Tarian Likok Pulo oleh murid sekolah.

Delegasi disambut secara langsung oleh Kepala Sekolah Rohana.,M.Pd dan Pengawas dari Dinas Pendidikan Kota Banda Aceh Bapak Caswo., M.Pd..

Ini sinonim dengan budaya Aceh iaitu mereka akan memuliakan tetamu dan menyambut tetamu seperti raja sebagai tanda penghargaan atas kunjungan yang diberikan.

Ucapan oleh Siti Nurzahirah binti Mohd Zulkifli selaku pengarah program

Menurut pengarah program, Siti Nurzahirah binti Mohd Zulkifli mengatakan bahawa aktiviti ini dilihat mampu mengeratkan tali persahabatan antara dua negara iaitu Malaysia dan Indonesia.

“Aktiviti yang dilaksanakan ini merupakan sebahagian dari usaha UPSI untuk memberikan sumbangan kepada dunia pendidikan khususnya di daerah Banda Aceh dan sekitarnya.

“Saya berharap program ini dapat memberikan kesan positif terhadap perkembangan pendidikan, meningkatkan motivasi belajar, dan mendorong anak-anak untuk terus berprestasi meskipun menghadapi pelbagai rintangan,” katanya.

Sekitar suasana di PAUD Seulanga Az-Zahra Lamteumen Timur

Sementara itu, di PAUD Seulanga Az-Zahra Lamteumen Timur pula mahasiswa UPSI menjalankan aktiviti bersama anak-anak pelajar di sana dengan menggunakan konsep bermain sambil belajar bagi mendatangkan keseronokan dalam diri mereka.

Mereka kelihatan teruja untuk mengikuti setiap aktiviti yang dijalankan oleh mahasiswa UPSI dari awal sehingga akhir.

Dr. Muhammad Ridhwan bin Sarifin selaku penasihat program menyampaikan ucapan

Dr. Muhammad Ridhwan bin Sarifin dalam ucapannya berkata, banyak pengetahuan baharu yang kami peroleh sepanjang kami berprogram di sini khususnya mengenai sistem pendidikan dari peringkat rendah hingga peringkat yang lebih tinggi.

“Program ini dilihat mampu memberikan impak yang baik dalam diri mahasiswa UPSI yang terlibat di mana mereka dapat mempelajari kaedah pendidikan yang berbeza yang boleh menjadi satu panduan dalam mendidik,” ujarnya lagi.

Ketua delegasi UPSI, Dr. Haji Che Anuar bin Che Abdullah menandatangani MOU

Dalam pada sibuk beraktiviti bersama murid-murid, Dr. Haji Che Anuar Che Abdullah selaku Pengetua Kolej Harun Aminurrashid (KHAR) sempat menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) di SD Negeri 29 Banda Aceh sebagai simbolik kerjasama yang berterusan dan kesediaan mewujudkan hubungan yang lebih erat.

Aktiviti bersama murid SD Negeri 29 Banda Aceh dan PAUD Seulanga Az-Zahra Lamteumen Timur ini membuktikan komitmen UPSI dalam mengetengahkan nilai-nilai sosial dan pendidikan yang inklusif.

Melalui program ini, diharapkan dapat membuka lebih banyak peluang bagi anak-anak di daerah tersebut untuk berkembang dan meraih masa depan yang lebih baik.