Oleh : Tuan Tasyneem
TANJONG MALIM, 28 Disember 2024 – KHAR Lounge (Chillex) Kolej Harun Aminurrashid (KHAR), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melancarkan pembaharuan jenamanya, menandakan mercu jaya penting dalam proses transformasi. Perubahan identiti kepada nama baru iaitu Chillex mencerminkan wawasan masa depan dan tumpuan strategik baharu dalam bidang keusahawan dengan membawa matlamat dan misi baharu yang lebih jelas.


Evolusi itu sejajar dengan matlamat baharu dengan pembaharuan Chillex, gabungan daripada dua perkataan Inggeris iaitu Chill+Rilex yang bersesuaian dengan konsep tempat yang menyediakan suasana santai dan menenangkan kepada para pelanggan yang hadir. Cogan kata iaitu Bite Into Bliss, More Chill More Relax juga diperkenalkan bagi menampakkan kesesuaian nama dengan konsep yang dipilih.


Program Opening Day perasmian bagi nama baharu Chillex telah berlangsung meriah dengan sambutan luar biasa daripada kebanyakan penghuni kolej yang hadir. Pengetua kolej KHAR, Dr. Che Anuar Che Abdullah, yang merasmikan program ini dengan gimik menarik iaitu pemotongan reben, turut mengucapkan tahniah kepada pengarah program dan ahli jawatankuasa yang terlibat.

“Saya berharap agar Chillex menjadi titik permulaan kepada mahasiswa untuk mempraktikkan kemahiran dalam perniagaan di samping menyumbang idea dan tenaga dalam memajukan lagi Chillex dengan memperoleh penjanaan yang lebih tinggi dan lebih baik”, katanya lagi.
Penubuhan KHAR Lounge pada suatu ketika dahulu diwujudkan adalah sebagai satu inisiatif bagi penjanaan Majlis Mahasiswa Kolej (MMK) KHAR dan juga kolej dengan kerjasama bersama rakan Exco Ekonomi dan Keusahawan (EDK) KHAR bagi setiap sidang. Kini dengan nafas baharu, KHAR Lounge telah ditransformasi kepada nama baharu, konsep baharu dan cogan kata yang lebih menarik bagi menyerlahkan lagi kefungsian Chillex kepada seluruh penghuni kolej. Seiring dengan itu, dapat memupuk semangat keusahawanan dalam kalangan pelajar, selaras dengan elemen yang ingin diterapkan kepada mahasiswa UPSI.
Turut hadir bersama Felo penasihat Exco EDK, Norrulkamari Daud dan juga barisan felo kediaman KHAR. Felo penasihat berkata selama hampir 10 tahun sejak KHAR Lounge (nama dahulu) beroperasi, belum pernah ada penjenamaan baru dilakukan bagi menambahbaik Chillex ini. Dengan adanya transformasi ini membolehkan Chillex memenuhi keperluan cita rasa mahasiswa/i sambil menampilkan identiti yang lebih tersendiri dengan keunikan pelbagai makanan seperti Oden sebagai signature KHAR, pemberian voucher istimewa kepada pelanggan tetap dan keenakan menikmati makanan di Chillex ini. Tambahan, terdapat beberapa menu baharu yang ditambah seperti pasta, ayam popcorn dan pencuci mulut pasti dapat menarik mahasiswa untuk datang ke Chillex ini setiap masa.

Pengarah program, Umarrul Hafiz Mohamad Noh, dalam ucapannya menyatakan, “Opening Day Chillex ini adalah usaha untuk menyediakan ruang yang lebih santai dengan konsep yang ceria kepada para penghuni sesuai dengan cogan kata More Chill, More Relax, di samping dapat memanfaatkan ruang yang disediakan untuk perbincangan akademik dan perhubungan sosial yang positif.
Dengan sokongan padu daripada pihak kolej dan semangat pelajar yang luar biasa, Opening Day Chillex membuktikan bahawa usaha dan perancangan rapi mampu mencipta impak yang lebih besar dalam mengangkat nama kolej KHAR dan membina komuniti pelajar yang lebih aktif, kreatif dan berdaya saing. Dengan adanya identiti baharu Chillex ini, diharapkan semoga penghuni dapat memanfaatkan sebaiknya Chillex sebagai pusat aktiviti pelajar, bukan sahaja tertumpu kepada juadah atau tempat makan semata-mata. Dengan harapan, semoga Chillex dapat melonjakkan lagi nama KHAR untuk bergerak dan berkembang lebih maju malah dapat menyerlahkan personaliti KHAR sebagai sebuah jenama yang sentiasa mekar di ingatan dan sebutan buat seluruh warga UPSI.
