Oleh : Haikal Musa
Tanjung Malim, 8 Januari 2025 – Kolej Awang Had Salleh (KAHS) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan komitmen padu telah menyertai Majlis Bacaan Yaasin, Tahlil, dan Solat Hajat yang dirangkai dengan Pelancaran Tabung Ihya’ Ramadhan 2025. Majlis penuh bermakna ini telah dianjurkan oleh Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) dan berlangsung di Masjid Al-Mursyidin, UPSI. Acara ini telah dirasmikan oleh Naib Canselor UPSI, Profesor Dato’ Dr. Md Amin bin Md Taff, yang turut memberikan amanat kepada para peserta.

Kolej Awang Had Salleh di bawah kepimpinan Dr. Mardiana Binti Ismail sekali lagi menunjukkan kesungguhan mereka dalam melibatkan pelajar kolej dalam program yang bermanfaat seperti ini. Dr. Mardiana menekankan bahawa penglibatan dalam program berbentuk kerohanian dan keagamaan adalah satu platform penting untuk membentuk sahsiah serta memperkukuhkan nilai-nilai murni dalam kalangan mahasiswa.
Majlis ini turut disertai oleh penghuni Kolej Awang Had Salleh yang hadir secara aktif sepanjang program. Mereka mengambil bahagian dalam bacaan yaasin dan tahlil yang dipimpin oleh imam Masjid Al-Mursyidin, diikuti solat hajat yang diadakan untuk mendoakan kesejahteraan umat Islam khususnya warga UPSI menjelang bulan suci Ramadhan.

Sebagai salah satu acara penting, pelancaran Tabung Ihya’ Ramadhan 2025 bertujuan mengumpulkan dana bagi aktiviti kebajikan sepanjang bulan Ramadhan. Tabung ini akan digunakan untuk menyediakan sumbangan kepada golongan asnaf, menganjurkan program berbuka puasa, dan aktiviti lain yang dapat memupuk semangat perpaduan serta keprihatinan sosial dalam kalangan warga universiti.
Dr. Mardiana menyatakan rasa bangga terhadap semangat para pelajar KAHS yang sentiasa menyokong program-program universiti, terutamanya yang menjurus kepada pembangunan rohani. “Kami di Kolej Awang Had Salleh komited untuk memastikan pelajar bukan sahaja cemerlang akademik, tetapi juga berperibadi mulia serta prihatin terhadap masyarakat sekeliling,” ujar beliau.

Penganjuran program ini bukan sahaja mendidik pelajar tentang kepentingan amal kebajikan, tetapi turut menyemarakkan rasa bersyukur dan kekitaan dalam kalangan warga universiti. Dengan kejayaan majlis ini, diharapkan lebih banyak program seumpamanya dapat dianjurkan pada masa akan datang bagi memupuk nilai-nilai murni dalam diri mahasiswa.
Majlis berakhir dengan sesi ramah mesra antara peserta, penganjur, dan Naib Canselor, yang turut menyatakan penghargaan kepada semua pihak yang telah menjayakan program ini. Semoga usaha ini terus membawa keberkatan dan manfaat kepada seluruh warga UPSI serta komuniti sekitarnya.
