Oleh: Nurul Afiqah Nabilah binti Amirullah

Tanjong Malim : Pada 7 Januari 2025, Sesi Taklimat Tatatertib Pelajar kepada Pelajar Kolej Awang Had Salleh telah dianjuran bagi memastikan semua pelajar memahami peraturan dan etika yang perlu dipatuhi semasa berada di universiti. Sesi taklimat ini berlangsung di Dewan Kolej Harun Aminurrashid bermula dari 8:30 malam sehingga 11:00 malam dan melibatkan semua pelajar Diploma, penghuni Kolej Awang Had Salleh (KAHS).

Acara dimulakan dengan ucapan daripada Pengetua KAHS iaitu Dr Mardiana binti Ismail. Dalam ucapan beliau menyatakan bahawa tatatertib adalah penting untuk menjaga keharmonian dan disiplin dalam kalangan pelajar. Dengan mematuhi peraturan yang ditetapkan, kita dapat mencipta persekitaran yang positif dan kondusif. Beliau juga menekankan 10 perkara yang boleh membantu pemahaman dan membanteras salah laku pelajar di universiti, antaranya visi dan misi dalam hidup. “Fikirkan tentang masa depan anda. Pilihan yang anda buat hari ini akan menentukan jalan hidup anda kemudian hari,” kata Dr. Mardiana. Pesanan yang diberikan cukup memberi inspirasi bagi menyedarkan pelajar agar berfikir dengan bijak sebelum melakukan sesuatu perkara.

Seterusnya, sesi Taklimat Pengurusan Kes Tatatertib Am Pelajar UPSI telah disampaikan oleh En Suhaimi daripada Unit Tatatertib Pelajar JHEPA UPSI manakala taklimat berkenaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) serta Kaedah-kaedah Universiti dan Kolej Universiti disampaikan oleh En Shuhir Karmawi daripada Bahagian Perundangan UPSI.

Sesi soal jawab juga dibuka di akhir acara bagi memastikan tiada kekeliruan yang berlaku di kemudian hari. Sesi taklimat diakhiri dengan sesi fotografi bersama-sama penghuni KAHS. Secara keseluruhannya, sesi taklimat berjalan dengan lancar dan dapat memberi kesedaran kepada semua pelajar yang hadir. Diharapkan setelah Sesi Taklimat Tatatertib Pelajar  diadakan, semua pelajar dapat mematuhi semua peraturan yang ditetapkan oleh pihak universiti dan memastikan tiada lagi salah laku yang berlaku di masa akan datang.