Oleh: Bazli Razak

TANJUNG MALIM, 13 Januari 2025 – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPN Johor) serta pasukan Program Anak Kita dengan kerjasama Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI mengadakan Majlis Penyerahan Peranti dan Sijil Kolaborasi bagi Program Anak Kita: Tuisyen SPM 2025 di Johor, bertujuan untuk memastikan tiada pelajar yang tercicir dalam pembelajaran.

Majlis yang berlangsung di Dewan Seminar JPN Johor turut dihadiri oleh Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff,

Menurut beliau, sebanyak 2,293 tablet diserahkan kepada 85 buah sekolah di Negeri Johor sebagai sebahagian daripada usaha memperkasa pencapaian akademik pelajar.

Jelasnya, pemberian tablet ini adalah salah satu inisiatif penting dalam program tersebut untuk memastikan pelajar mendapat akses kepada pembelajaran digital dan mempertingkatkan kelancaran pelaksanaan tuisyen SPM menjelang tahun 2025.

Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff (kiri) bersama Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) UPSI, Prof Dr. Norkhalid Salimin (kanan) memantau peranti tablet yang akan diagihkan kepada pelajar sekolah di negeri Johor.

“Program ini adalah langkah besar untuk menangani isu keciciran yang berlarutan. Sejak kebelakangan ini, kita melihat pelbagai cabaran yang dihadapi oleh pelajar dalam sistem pendidikan kita.

“Dengan adanya Program Anak Kita, kita berharap dapat menyediakan pelajar-pelajar yang tercicir dengan peluang untuk mengejar kembali pelajaran mereka melalui bimbingan yang lebih fokus dan berkesan.

Tambah beliau, Program Anak Kita adalah sebahagian daripada Program Sokongan Pemulihan Pembelajaran – Semarak Potensi Malaysia, yang merupakan kerjasama antara Kementerian Kewangan, Unit Pantau Madani, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Yayasan Hasanah.

“UPSI diberi amanah untuk menjadi penyedia perkhidmatan di enam negeri iaitu Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, dan Sabah.

Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff (2 dari kanan) memegang peranti tablet bersama Pengurus Advokasi Pendidikan Yayasan Hasanah, Puan Aeti Amira Abdullah (3 dari kanan) sebagai simbolik penyerahan peranti bagi Program Anak Kita bagi pelajar sekolah di Johor.

Prof Datuk Dr Md Amin turut menjelaskan objektif utama Program Anak Kita, yang bertujuan untuk menangani isu keciciran dan memperkukuhkan pencapaian pendidikan di Malaysia.

“Program ini memberi penekanan kepada aspek literasi dan numerasi untuk pelajar sekolah rendah dan berusaha untuk meningkatkan kadar kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Program ini juga bertujuan untuk mengintegrasikan semula pelajar tercicir ke dalam sistem pendidikan arus perdana.

“Kami di UPSI berbangga dapat diberi kepercayaan untuk menjadi sebahagian daripada penyedia perkhidmatan dalam program yang amat penting ini.

“Kami percaya bahawa setiap pelajar berhak mendapat peluang yang sama untuk belajar dan berjaya. Dengan kerjasama daripada semua pihak, kami yakin dapat memastikan program ini berjaya mencapai matlamatnya,” kata Prof Datuk Dr Md Amin.

“Dengan sokongan penuh daripada pihak KPM, JPN Johor, dan Program Anak Kita, pelajar-pelajar di Johor diyakini dapat memanfaatkan teknologi ini untuk meningkatkan prestasi akademik mereka dan bersedia menghadapi SPM 2025 dengan lebih baik,” ujar beliau.

Turut hadir Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Tuan Haji Azman Haji Adnan; Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Tuan Aznan Tamin; Pengarah Pendidikan Negeri Johor, Tn Hj Mohd Hanafi Samad; Pengurus Advokasi Pendidikan Yayasan Hasanah, Puan Aeti Amira Abdullah; Focal Person Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti & Swsta (PIBKS) Negeri Johor & Kebangsaan, Datuk Hj Yahya Jaafar; Timbalan Pengarah, Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Negeri Johor, Tn Haji Mohd Kamal Ahmad Untong