Oleh: Siti Rahaimah binti Ali
Tanjong Malim – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sekali lagi melakar sejarah dengan penganjuran Karnival Pengajian Pendidikan 2025 yang berlangsung dengan meriah dan sarat dengan pertandingan.
Karnival ini merupakan kali ke-4 diadakan dan terus menjadi acara tahunan untuk menjadi platform utama bagi mahasiswa berkongsi ilmu dan bakat dalam bidang pendidikan.

Karnival ini terus berkembang dengan penyertaan dari pelbagai pihak termasuk mahasiswa dan para pendidik. Edisi kali ini bertemakan Artificial Intelligence (AI) bagi mendepani cabaran pendidikan abad ke-21. Karnival kali ini dikembangkan lagi dengan menerima peserta dari pihak luar.
Karnival ini dirasmikan oleh Profesor Madya Dr. Abdul Talib bin Mohamad Hashim, Dekan Fakulti Pembangunan Manusia dan turut dihadiri oleh Profesor Madya Ts. Dr. Mahizer bin Hamzah, Timbalan
Dekan (Akademik dan Antarabangsa) Fakulti Pembangunan Manusia, Profesor Madya Dr. Abdul Halim bin Masnan, Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Fakulti Pembangunan Manusia, Dr. Syaza
Hazwani binti Zaini, Ketua Jabatan Pengajian Pendidikan Fakulti Pembangunan Manusia, Profesor Madya Dr. Siti Rahaimah binti Ali, Pengarah Karnival Pengajian Pendidikan 2025, Dr. Mohd Rozi bin Ismail, Timbalan Pengarah IPG Kota Bharu, Shivendren A/L Selvakumar, Pengarah Program Pelajar Karnival Pengajian Pendidikan 2025, pensyarah JPP, peserta luar dan dalam dan pelajar-pelajar ISMP UPSI.

Menurut Profesor Madya Dr. Siti Rahaimah binti Ali, Pengarah Karnival Pengajian Pendidikan dalam ucapannya, “Karnival ini ialah ilmu yang tidak dapat di dalam kelas tetapi pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) dapat daripada karnival ini”. Karnival ini terus menjadi platform terbaik untuk mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) dalam menonjolkan bakat mereka. Antara agenda yang berjaya dilaksanakan ialah Forum Pendidikan: Membentuk Pendidikan Holistik Dalam Era Digital dan beberapa pertandingan. Antara pertandingan yang diadakan ialah Seminar Kajian Tindakan, Inovasi Amalan Terbaik Pendidikan dan Projek Santun Masyarakat. Menariknya, kali ini turut diperkenalkan pertandingan Ikon Guru Muda yang diadakan julung-julung kalinya bertujuan mencari individu yang memiliki ciri-ciri pendidik yang berkualiti. Menurut Profesor Madya Dr. Abdul Talib bin Mohamad Hashim, Dekan Fakulti Pembangunan Manusia, “Karnival ini merupakan platform untuk melatih warga pendidik yang cemerlang dan berkongsi idea. Guru bukan sahaja menyampaikan ilmu tapi berkongsi ilmu dan pengalaman kepada orang lain melalui karnival ini”.
