Oleh : Nur Adriana Fitri Jusli, Prof. Madya Dr. Syakirah Samsudin dan Dr. Nur Izwani Mohd Shapri
Padang, Indonesia, 29 November 2024- Program Mobiliti Tanpa Kredit (Outbound) telah berjaya dilaksanakan hasil kerjasama antara Universiti Pendidikan Sultan Idris bersama dengan Universitas Negeri Padang yang berlangsung di Padang, Indonesia selama 5 hari 4 malam bermula dari 25 hingga 29 November 2024.
Seramai 50 mahasiswa yang mewakili Universiti Pendidikan Sultan Idris serta 2 pensyarah iaitu Prof. Madya Dr. Syakirah Binti Samsudin dan Dr. Izwani Binti Mohd Sapri telah terlibat dalam menjayakan program ini.
Program Mobiliti Tanpa Kredit (Outbound) ini adalah satu inisiatif suai kenal secara antarabangsa dalam kalangan mahasiswa dan pensyarah daripada kedua-dua universiti yang bertujuan untuk memperluas pengalaman, memupuk pertukaran budaya serta membina jaringan dan hubungan profesional yang boleh memberi manfaat dalam kerjaya mahasiswa pada masa akan datang.
Hal ini secara tidak langsung memperkukuh hubungan delegasi yang telah terbina selama hampir 2 tahun secara atas talian, dengan merealisasikan hasrat pelaksanaan program ini secara bersemuka.
“Kerjasama antara UNP dan UPSI dalam program SULAM sebelum ini telah berlangsung selama 2 tahun yang mana ianya dilaksanakan secara dalam talian.
“Hari ini, kami datang ke UNP sendiri untuk melaksanakan program ini secara bersemuka.”, ujar Prof. Madya Dr. Syakirah Samsudin.
Antara sorotan utama sepanjang berlangsungnya program ini adalah segmen konti radio “Sore Ceria with UKKPK UNP” yang dihoskan oleh Cinthia dan Fires bersama beberapa tetamu jemputan iaitu Mohd Zulhilmi selaku pengarah program SULAM Antarabangsa dari Universiti Pendidikan Sultan Idris, Baginda sebagai wakil dari Universitas Negeri Padang serta Nakia yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Atas Negeri 10, Padang (SMANTEN).
Segmen ini telah berlangsung pada 26 November 2024 sekitar jam 5.00 hingga 5.45 petang di Radio Republik Indonesia, Padang.
Antara inti yang dibincangkan dalam segmen konti radio ini adalah mengenai apa itu SULAM dan mengapa program ini dilaksanakan di Indonesia serta bagaimana implementasi SULAM itu sendiri dalam membawa topik kesihatan umum iaitu “Hidup Sihat Bebas Kanser Serviks dalam Kalangan Remaja.”
Segmen ini juga membincangkan tentang faktor dan kesan kanser serviks sebagai satu mesej kesedaran kepada pendengar radio.


Pada 27 November 2024, peserta SULAM Antarabangsa Universiti Pendidikan Sultan Idris juga tidak ketinggalan melakukan kunjungan ke monumen bersejarah sekitar Padang seperti Istano Baso Pagaruyung di Batusangkar, monumen Jam Gadang serta Ngarai Sianok dan Lubang Jepang di Bukittinggi.
Lokasi pertama ke Istano Baso Pagaruyung, Batusangkar ini memakan masa hampir 2 jam dan setibanya peserta di lokasi bersejarah tersebut, peserta dibenarkan untuk berjalan dan melihat sejarah sekitar istana tradisional Minangkabau serta berfoto sambil mengenakan baju daerah Minangkabau.

Perjalanan diteruskan ke Bukittinggi untuk mengunjungi Ngarai Sianok iaitu lembah curam yang dihiasi tumbuhan-tumbuhan hijau dan sungai yang tenang.
Ngarai Sianok ini boleh dilihat dari lokasi Lubang Jepang iaitu terowong perlindungan yang dibangunkan oleh tentera Jepun semasa era Perang Dunia Kedua; yang berfungsi sebagai tempat perlindungan, kawasan simpanan dan laluan strategik.
Peserta merasai sendiri pengalaman memasuki Lubang Jepang ini sambil diiringi oleh pemandu pelancong.

Peserta juga dibawa untuk berkunjung ke Jam Gadang dan sekitar Pasar Ateh Bukittinggi yang tidak jauh dari lokasi Lubang Jepang untuk membeli buah tangan dan merasai makanan tradisional yang dijual sekitar Jam Gadang.
Dalam perjalanan pulang, peserta turut berkunjung ke Pasar Kuliner Padang Panjang untuk mengisi perut sebelum meneruskan perjalanan pulang ke Universitas Negeri Padang.


Pada 28 November, turut berlangsung program Silang Budaya antara mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris bersama Universitas Negeri Padang di Ruang Aula, Fakultas Matematika dan Ilmu Pengetahuan Alam (FMIPA).
Program ini bertujuan untuk memperkenalkan kesenian serta kebudayaan yang ada di Malaysia dan Indonesia.
Tuan rumah Universitas Negeri Padang mempersembahkan seni kebudayaan Minangkabau yang terkenal di Sumatera Barat seperti Tari Pasambahan Minang dan Tarian Piring, mendendangkan beberapa lagu tradisional serta pertunjukkan fesyen pakaian tradisi masyarakat Minang.
Wakil peserta daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris juga tidak ketinggalan memperkenalkan pelbagai jenis tarian yang mewakili pelbagai kaum di Malaysia serta membuat persembahan pantun dan nyanyian lagu ‘Original Sabahan’.





Program Mobiliti Tanpa Kredit (Outbound) ini menjadi satu platform antarabangsa yang menghubungkan dua institusi; Universiti Pendidikan Sultan Idris dan Universitas Negeri Padang yang saling terkait atas satu delegasi yang sama iaitu mengukuhkan hubungan kerjasama, mengeratkan lagi tali silaturahim serta pertukaran budaya antara dua negara iaitu Malaysia dan Indonesia.
Diharapkan program seperti ini tidak terhenti disini sahaja malah berhasrat agar legasi seterusnya mendukung ikatan ini agar tidak terputus.
Pihak universiti juga berharap agar peserta menggunakan pengalaman dan jaringan yang telah terbina ini sebagai pemacu untuk membentuk peribadi insan yang unggul.