Oleh: Umi Laila Sabihah
Tanjung Malim, 12 Januari 2025: Digital Contest Fest 2025 (DIGICON), “Bersama Membina Kandungan Digital Berimpak” anjuran Majlis Mahasiswa Kolej Harun Aminurrashid (KHAR) Exco Media Dan Publisiti telah membuka jalan kepada mahasiswa dan mahasiswi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) serta orang awam untuk menyerlahkan bakat dan kreativiti mereka dalam dunia pemasaran digital.
Program ini dianjurkan oleh Exco Media dan Publisiti KHAR dengan kerjasama Persatuan Teknologi Maklumat, Persatuan Kejuruteraan Perisian dan Persatuan Multimedia Kreatif bertujuan untuk meningkatkan penglibatan warga UPSI dalam pemasaran digital.
Dengan menggunakan hashtag #TiktokSalesShowdown, #DigiConKHAR2025, #MediaKHAR, #JHEPA dan #UPSI, para peserta telah mempamerkan produk dengan kreatif di platform Tiktok.
Pertandingan yang berlangsung selama 10 hari ini bukan sahaja menjadi pentas untuk para peserta mempromosikan produk, malah turut menjadi suatu medan persaingan sihat dalam dunia pemasaran digital.
Objektif utama pelaksanaan program ini adalah untuk menggalakkan para peserta berfikir secara kreatif dan inovatif dalam mempromosikan produk, sekali gus mencungkil bakat baharu dalam bidang pemasaran digital.
Seterusnya untuk mengasah bakat mereka dalam mempromosikan produk mengikut trend yang terkini.

Majlis penganugerahan hadiah kepada para pemenang telah berlangsung dengan meriah di Dewan Harun Aminurrashid pada 12 Januari 2025.

Di Dewan KHAR, beberapa vendor menawarkan barangan elektronik seperti earphone, powerbank, phone charger, serta screen protector.
Peserta yang membeli screen protector juga berpeluang untuk mendapatkan perkhidmatan pertukaran screen protector pada harga serendah RM10 sahaja.

Sebagai pelengkap kepada majlis, panel jemputan istimewa iaitu Coach Haziq, telah dijemput untuk berkongsi pengetahuan mendalam tentang teknik shooting dan idea untuk menghasilkan video affiliate.
Perkongsian inspiratif ini telah memberikan peluang kepada peserta untuk mempelajari kemahiran baharu yang mampu meningkatkan pengetahuan mereka dalam dunia pemasaran digital.
Aktiviti penghasilan video affiliate telah dilakukan secara berkumpulan untuk memastikan peserta faham mengenai perkongsian daripada panel jemputan.

Encik Mohd Izzat Abdul Rahman selaku Felo Penasihat Exco Media KHAR dan Penasihat Program DIGICON telah mengucapkan tahniah kepada pengarah program, Muhammad Raziq Suhaireesam iaitu Exco Media dan Publisiti Kolej Harun Aminurrashid serta ahli jawatankuasa pelaksana program yang merupakan tulang belakang dalam menjayakan program ini.
Beliau juga telah menyatakan bahawa objektif program ini adalah untuk mengasah bakat terpendam mahasiswa dan mahasiswi UPSI berkenaan pemasaran digital serta memberi peluang kepada mereka untuk menonjolkan bakat mereka dalam bidang tersebut.
“Harapan saya semoga dengan adanya bakat dalam diri, penghuni KHAR dapat menyumbang kepada program-program media dan publisiti yang dapat mengharumkan nama kolej dengan lebih luas pada masa hadapan,” ujarnya.
Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada Pengarah Program, Pengarah Program Bersama, serta seluruh jawatankuasa pelaksana atas kejayaan ini.

Semoga program seperti ini terus menjadi inspirasi kepada mahasiswa UPSI untuk melangkah lebih jauh dalam bidang pemasaran digital.