Oleh: Dr. Fairus Fariza Zainudin

RAWANG, 11 Januari – Seramai 28 pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Sukan (Rehabilitasi Sukan) dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menganjurkan program Rehabpreneur Challenge sempena Pertandingan Futsal Terbuka Rawang 2025 di EPL Futsal Court, Rawang. Pertandingan Futsal ini telah dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rawang, Yang Berhormat Chua Wei Kiat.

Menurut Pengarah Program Abdul Syamill Hakimy, program ini bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar semester tiga dalam aspek keusahawanan terapi urutan sukan, pengurusan acara, dan kemahiran pembelajaran sepanjang hayat. “Pengalaman menghadapi situasi sebenar, menyelesaikan isu-isu di lapangan, dan mencari penyelesaian terbaik dalam keadaan yang mencabar merupakan kemahiran kritikal yang perlu ada pada graduan hari ini,” katanya.

Kejohanan yang mendapat sambutan memberangsangkan ini telah disertai oleh lebih 15 pasukan dengan anggaran kehadiran lebih 250 orang pengunjung. Para pelajar telah menawarkan perkhidmatan terapi urutan, rawatan kecemasan sukan, dan jualan minuman isotonik jenama UPSIDE, iaitu produk keluaran FSSK, UPSI.

YB Chua dalam ucapannya menyatakan rasa kagum dengan inisiatif pelajar universiti dalam memberikan perkhidmatan kepada komuniti. “Saya sangat tertarik dengan program seumpama ini yang memberi peluang kepada golongan belia mengaplikasikan kemahiran praktikal dalam situasi sebenar,” ujar beliau.

Program ini merupakan sebahagian daripada pembelajaran berasaskan pengalaman (experiential learning) yang memberi peluang kepada pelajar mengaplikasikan teori dan praktikal yang dipelajari di universiti dalam situasi sebenar. Ia juga bertujuan meningkatkan keyakinan pelajar dalam bidang terapi urutan sukan yang merupakan salah satu komponen penting dalam program Rehabilitasi Sukan.

“Kami berharap lebih banyak program seumpama ini dapat dianjurkan pada masa hadapan bagi memberi peluang kepada pelajar mengasah kemahiran kepimpinan dan komunikasi. Pengalaman ini amat berharga dalam membentuk graduan yang berketerampilan dan bersedia untuk pasaran kerja,” tambah Mohd Izzul Ishraf.

Program ini telah membuktikan bahawa pembelajaran tidak terhad kepada bilik kuliah sahaja, malah pengalaman praktikal di lapangan mampu membentuk graduan yang lebih berkeyakinan dan bersedia menghadapi cabaran dunia pekerjaan.