Oleh: Maznah Othman

Tanjong Malim, 14 Januari 2025 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menerima lawatan rasmi daripada Jabatan Perkhidmatan Digital Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ke Pusat Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) UPSI.

Lawatan ini bertujuan berkongsi pengalaman serta menilai prestasi peralatan WiFi jenama H3C yang telah digunakan di UPSI sejak tahun 2023.

Selain itu, lawatan ini juga menjadi platform penting dalam memperkukuh kerjasama strategik antara kedua-dua institusi dalam bidang teknologi maklumat.

Sesi perkongsian bersama delegasi UTM dipengerusikan oleh Ts. Dr. Megat Azrin bin Ahmad, Ketua Pegawai Digital Pusat ICT UPSI (tengah).

Delegasi UTM diketuai oleh Ketua Pegawai Digital, Jabatan Perkhidmatan Digital UTM, Encik Nik Kamal Izuddin Nik Ibrahim bersama barisan pegawai kanan termasuk Timbalan Pengarah En. Abd Haris Ismail.

Turut serta dalam lawatan ini ialah CEO Total Technology Engineering, En. Alsharafudin Mohamed; Konsultan H3C Technologies Solutions Malaysia Sdn Bhd, En. Tan Kean Kong juga wakil dari Total Technology Engineering dan Fortesys Sdn Bhd bagi membincangkan potensi kerjasama dan perkongsian teknologi.

Delegasi UTM disambut mesra oleh Ketua Pegawai Digital Pusat ICT UPSI, , Ts Dr. Megat Azrin Ahmad bersama Ketua Bahagian Infrastruktur, En. Shahrul Azlan Mohamed Nor dan beberapa pegawai lain.

Dalam ucapan alu-aluannya, Ts Dr. Megat Azrin menyatakan, “Kami gembira dapat berkongsi pengalaman kami dengan UTM.

“Produk H3C telah memberikan impak positif kepada infrastruktur ICT UPSI, dan kami yakin perkongsian ini dapat membantu UTM dalam membuat penilaian yang tepat.”

Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama antara institusi pengajian tinggi dalam memacu kemajuan teknologi maklumat.

Melalui sesi perkongsian ini, pihak UTM berpeluang menilai prestasi produk H3C berdasarkan data dan testimoni yang dikongsi oleh UPSI.

Ts. Dr. Megat Azrin bin Ahmad (kanan), Ketua Pegawai Digital UPSI, dan En. Nik Kamal Izuddin bin Nik Ibrahim (kiri), Ketua Pegawai Digital, Jabatan Perkhidmatan Digital UTM, saling bertukar penghargaan sebagai simbolik komitmen dan kerjasama antara kedua universiti.
 

“Pihak UTM merakamkan penghargaan kepada UPSI atas perkongsian ini. Diharap ini dapat membantu UTM dalam merancang dan meningkatkan infrastruktur digital ke arah yang lebih baik”, ujar Encik Nik Kamal Izuddin yang turut menyatakan penghargaan beliau.

Dalam sesi lawatan ini, Ts Dr. Megat Azrin yakin bahawa ini merupakan satu usaha baik dalam mengukuhkan hubungan strategik antara kedua-dua universiti.

“Sesi ini selain dapat menilai teknologi, ia juga sebagai salah satu usaha baik antara UTM dan UPSI dalam memperkukuhkan hubungan dua hala,” ujar Ts Dr. Megat Azrin.

“Kami berharap kerjasama baik sebegini dapat diteruskan dan diperluas lagi,” tambah beliau lagi.

Ts. Dr. Megat Azrin bin Ahmad (dua dari kanan) dan En. Tan Kean Kong, (Konsultan H3C Technologies Solutions Malaysia Sdn Bhd) dalam sesi pertukaran plak sempena lawatan penanda aras ini, sebagai tanda kerjasama yang lebih erat.

Dengan adanya kerjasama sebegini, kedua-dua institusi dapat bekerjasama dalam memajukan inovasi teknologi, khususnya dalam menyediakan penyelesaian digital yang lebih efisien dan berkesan untuk komuniti kampus. Melalui jalinan kerjasama ini, UTM dan UPSI berhasrat untuk terus berkongsi pengetahuan dan pengalaman dalam bidang teknologi maklumat.

Ini bukan sahaja akan memanfaatkan kedua-dua pihak, tetapi juga akan menyumbang kepada pembangunan pendidikan tinggi di Malaysia secara keseluruhan.