Oleh: Suzie Amelice Anak Peter & Dr. Sumayyah Aimi Mohd Najib
Tanjong Malim, 23 Januari 2025 – Persatuan Geografi (PERGEO) di bawah Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menganjurkan ‘Program Jom Kitar Semula’di Pusat Pembelajaran dan Pengasingan Barangan Kitar Semula yang berada di bawah pengurusan Majlis Daerah Tanjong Malim. Program ini telah dirasmikan oleh pengerusi COMBI (Communication For Behavioral Impact) negeri Perak, Habibah Yaakob bersama penasihat Persatuan Geografi UPSI, Dr Sumayyah Aimi Mohd Najib.
Seramai 15 orang mahasiswa bersama dengan Yang DiPertua Persatuan Geografi Sidang 2024/2025 UPSI, Muhammad Syafiq Razali turut menyertai program ini yang berlangsung dari jam 9.00 pagi sehingga 1.00 petang. Program ini dilaksanakan bertujuan untuk mendedahkan kepada pelajar geografi yang terlibat tentang proses-proses pengurusan dan pengasingan barangan untuk dikitar semula. Setiap proses pengasingan barangan kitar semula telah dijalankan secara berperingkat-peringkat untuk memudahkan barangan terpakai ini dihantar ke pusat kitar semula untuk dikitar semula atau didermakan kepada rumah kebajikan yang memerlukan.


Selain itu, program kitar semula ini juga dijalankan bertujuan untuk mendidik pelajar geografi yang terlibat berkaitan pengetahuan ilmu kitar semula yang dapat diaplikasikan di Tanjong Malim. Pengetahuan tentang ilmu kitar semula 5R iaitu Refuse (tolak), Reduce (kurangkan), Reuse (guna semula), Recycle (kitar semula) dan Recovery (pemulihan) ini dapat menggalakkan penglibatan masyarakat Tanjong Malim untuk turut serta dalam aktiviti kitar semula yang dianjurkan di Tanjong Malim.
Sepanjang program ini, proses mengasingkan barangan seperti pakaian terpakai, barang permainan, beg, botol plastik dan lain-lain barang diasingkan mengikut kategori bagi memudahkan pengurusan barang dilakukan. Puan Habibah menekankan usaha beliau untuk memastikan masyarakat peka terhadap pentingnya proses kitar semula, dengan mengutamakan pengasingan barang secara betul mengikut jenis item, dan mengelakkan pembuangan sampah di kawasan kitar semula.
Penglibatan oleh aktivis Persatuan Geografi dalam program Jom Kitar Semula merupakan inisiatif aktiviti alam sekitar secara tidak langsung dapat menimba sedikit sebanyak ilmu pengetahuan baharu tentang amalan kitar semula di Tanjong Malim. Selain itu aktiviti universiti bersama komuniti ini sentiasa ditekankan oleh UPSI sebagai salah sebuah Universiti Pendidikan yang sentiasa bersama-sama dengan masyarakat untuk menjayakan matlamat pembangunan lestari.
