Oleh: DR AHMAD WIRAPUTRA SELAMAT
JOHOR BAHRU, 24 Februari – Delegasi dari Pusat Pembangunan Akademik (PPA) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah mengadakan lawatan penanda aras ke Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bagi mempelajari serta meninjau kaedah pelaksanaan program Pembelajaran Terbuka dan Jarak Jauh (ODL) serta Micro-credential (MC) di UTM.
Program in melibatkan kunjungan ke dua lokasi utama di UTM iaitu Sekolah Pengajian Siswazah (SPS) dan Pusat Pembelajaran Digital dan Pengalaman (CDeX).
Delegasi UPSI terdiri daripada Timbalan Pengarah e-Pembelajaran dan Transformasi Akademik, PPA, Chm. Dr. Yuhanis Mhd Bakri, Penyelaras E-Pembelajaran, Dr. Ahmad Wiraputra Selamat serta Pegawai Teknologi Maklumat, PPA, Puan Siti Nadiah Halimah Md Shah.

Kunjungan ini disambut oleh Timbalan Pengarah SPS, Prof Madya Dr Norazrena Abu Samah serta Timbalan Pengarah CDEX, Prof. Madya Dr Nurbiha A Shukor.
Lawatan ini bertujuan untuk memahami secara lebih mendalam struktur dan operasi program ODL di UTM yang telah beroperasi selama lima tahun sejak tahun 2000.

Setakat ini UTM telah menawarkan 12 program ODL termasuk Sarjana dalam Pendidikan (Pendidikan Teknikal dan Vokasional) serta Kedoktoran dalam Amalan Profesional.
Universiti itu juga telah menghasilkan 77 kursus MC dengan janaan lebih RM30,000 sejak tahun 2020.
Selain sesi perbincangan bersama pihak UTM, delegasi UPSI turut berpeluang melawat Studio Rakaman CDeX yang menjadi pusat penghasilan bahan pembelajaran digital untuk ODL dan Micro-credential.

Lawatan ini memberikan pendedahan kepada UPSI dalam merancang dan melaksanakan program ODL yang bakal dimulakan tahun ini.
Lawatan ini dijangka akan memperkukuh kerjasama akademik antara UPSI dan UTM, selain membantu UPSI dalam memperkasakan program pembelajaran fleksibel yang selaras dengan perkembangan pendidikan tinggi digital di Malaysia.
